KUALA LUMPUR: Kemelut politik di Negeri Sembilan yang masih belum berpenghujung berpotensi diredakan sekiranya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, tampil dengan pendirian yang lebih tegas.
Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri, berpandangan bahawa Mohamad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, perlu mengimbangi kesetiaan terhadap Kerajaan Perpaduan dengan keperluan menyatakan pendirian berhubung kemelut politik di peringkat negeri.
“Beliau tidak mampu mengambil pendirian secara terbuka sama ada menyokong atau sebaliknya kerana kedudukannya sebagai Menteri Luar.
“Namun, sekiranya beliau dapat mengeluarkan kenyataan yang lebih tegas, kemungkinan besar kemelut ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat,” katanya kepada Astro AWANI, pada Jumaat.
Syaza Farhana berkata, Mohamad memiliki pengaruh yang kuat di peringkat negeri dan kehadirannya dengan pendirian yang jelas berupaya meredakan ketegangan politik yang sedang berlaku.
Menurut beliau, sejak awal krisis tercetus, ramai pihak menantikan kenyataan daripada Mohamad atau Tok Mat, yang dianggap antara tokoh penting dalam landskap politik semasa Negeri Sembilan.
“Sekiranya beliau tampil lebih awal dengan pendirian yang tegas, mungkin keadaan dapat dikawal dengan lebih baik.
“Namun, kini selepas hampir seminggu berlalu, krisis masih berlarutan, walaupun masih ada ruang untuk beliau tampil memainkan peranan,” katanya.
Beliau juga berpandangan bahawa sebagai seorang negarawan, Mohamad wajar menyatakan pendirian secara terbuka, termasuk memberikan sokongan jelas terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
“Ini penting bukan sahaja sebagai ahli politik UMNO, tetapi juga sebagai seorang menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita mahu melihat kepentingan itu dizahirkan demi memastikan kestabilan politik dan keharmonian di Negeri Sembilan dapat dikekalkan,” jelasnya.