SINGAPURA: Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN bagi melaksanakan perjanjian serta mekanisme berkaitan untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan makanan, selain mengurangkan impak gangguan di tengah-tengah konflik Asia Barat yang sedang berlarutan.
Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Khamis berkata ASEAN kekal teguh dengan komitmennya untuk mengekalkan perdagangan terbuka dan rantaian bekalan yang mampan bagi memastikan aliran barangan keperluan tidak terjejas.
"Melangkah ke hadapan, ASEAN mesti bertindak dengan segera dan menterjemahkan komitmen ini kepada tindakan konkrit," kata Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan dalam satu kenyataan susulan mesyuarat khas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN Khas (AECC) pada 30 April.
Mesyuarat Khas AECC itu adalah sebahagian daripada siri mesyuarat peringkat menteri khas ASEAN yang diselaraskan oleh Filipina sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang menyediakan platform kepada negara anggota ASEAN untuk bertukar pandangan secara kolektif mengenai situasi di Asia Barat serta potensi kesannya terhadap rantau ini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat itu mengesahkan semula komitmen ASEAN untuk memastikan perdagangan dan rantaian bekalan sentiasa terbuka, termasuk menegakkan hak serta kebebasan pelayaran dan mengelakkan sekatan perdagangan yang tidak wajar.
"Sehubungan itu, mereka menyeru agar ratifikasi dipercepatkan dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang telah dinaik taraf dapat dikuatkuasakan seawal mungkin pada tahun ini," katanya.
Mesyuarat itu turut bersetuju untuk memperkukuh keselamatan tenaga melalui langkah-langkah seperti mempelbagaikan sumber tenaga dan mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu.
Mereka juga menekankan keperluan untuk menyegerakan ratifikasi dan pengoperasian kerangka kerja sedia ada seperti Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Keselamatan Petroleum (APSA), yang akan merangkumi mekanisme tindak balas kecemasan bagi memudahkan penyelarasan serta komunikasi semasa berlaku gangguan bekalan secara tiba-tiba.
-- BERNAMA