Skip to main content

Malaysia

Penganggur didakwa cuba bunuh isteri, tekup muka guna bantal 

https://www.sinarharian.com.my/article/773754/berita/semasa/suami-didakwa-cuba-bunuh-isteri-dengan-bantal
Mohd Yusof Mat Yatim, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Meor Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. -Foto Sinar Harian

IPOH: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya di rumah mereka minggu lepas. 

Mohd Yusof Mat Yatim, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Meor Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan suatu perbuatan, iaitu menekup muka menggunakan bantal dengan mengetahui perbuatan berkenaan boleh menyebabkan kematian Syazwana Mohd Talaha, 38.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Changkat Lada Raya, Seberang Perak, Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah pada 9 pagi, 25 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda atau penjara hingga 20 tahun, atau boleh dihukum dengan hukuman mati jika kecederaan dilakukan dan tertuduh tertakluk kepada hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Zahira Musa memohon tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan dia telah bertindak agresif dan cuba terjun dari tingkat empat semasa siasatan dijalankan.

Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes, dan bagi Mohd Yusof melantik peguam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video