Skip to main content

Malaysia

Pemergian Syed Muhammad Naquib al-Attas kehilangan besar dunia keilmuan - KPT

Dukacita dimaklumkam bahawa Prof. Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mangkat petang tadi 18 Ramadan 1447 pada pukul 6.47
Allahyarham dikenali sebagai seorang sarjana ulung yang telah memberikan sumbangan amat besar dalam pembangunan tradisi keilmuan Islam serta pembinaan kerangka intelektual berteraskan nilai dan pandangan alam Islam. -Gambar fail

PUTRAJAYA: Pemergian Prof Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas merupakan satu kehilangan besar kepada dunia akademik dan peradaban ilmu khususnya dalam bidang pemikiran dan tamadun Islam, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut KPT dalam kenyataan hari ini, Allahyarham dikenali sebagai seorang sarjana ulung yang telah memberikan sumbangan amat besar dalam pembangunan tradisi keilmuan Islam serta pembinaan kerangka intelektual berteraskan nilai dan pandangan alam Islam. 

"Antara sumbangan terbesar Allahyarham ialah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang telah memberi pengaruh besar dalam wacana pemikiran Islam moden serta dalam pembinaan sistem pendidikan berteraskan nilai-nilai Islam. 

"Gagasan tersebut merangkumi pelbagai cabang keilmuan termasuk falsafah, teologi, sejarah, metafizik, bahasa, sastera dan seni," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham turut terlibat dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta mengasaskan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) pada 1987 yang menjadi pusat rujukan penting dalam pengajian tamadun dan pemikiran Islam serta telah melahirkan ramai sarjana dan ilmuwan dari pelbagai negara. 

"Selain itu, Allahyarham juga merupakan antara tokoh penting dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah menyumbang dalam merencana dasar, falsafah serta identiti universiti tersebut," menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan Allahyarham telah dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 23 Okt 2024 sebagai pengiktirafan Kerajaan MADANI terhadap sumbangan besar beliau kepada dunia akademik dan ketamadunan.

"Pelantikan ini menjadikan Allahyarham sebagai Prof Diraja kedua negara selepas Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menerima pengurniaan tersebut pada 1978," menurut kenyataan itu.

KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, pemikiran dan legasi intelektual yang ditinggalkan Allahyarham dan berharap sumbangan beliau akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi sarjana, ilmuwan dan mahasiswa dalam memartabatkan budaya ilmu serta memperkukuh pembangunan intelektual negara. 

Syed Muhammad Naquib yang meninggal dunia pada 6.47 petang semalam, pada usia 95 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari tadi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video