Skip to main content

Dunia

AS ketatkan proses Kad Hijau, pemohon perlu memohon dari luar negara

71765405259_tbUSCISImmigration.jpg
Panduan baharu itu terpakai kepada golongan bukan imigran seperti pelajar antarabangsa, pekerja sementara dan pelancong. - Gambar fail

WASHINGTON: Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen Amerika Syarikat (USCIS) pada Jumaat mengumumkan bahawa warga asing yang mahu menukar status imigresen mereka bagi mendapatkan taraf pemastautin tetap atau Kad Hijau, secara amnya perlu membuat permohonan dari luar Amerika Syarikat (AS) melalui Jabatan Negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, USCIS berkata pegawai imigresen hanya wajar meluluskan permohonan pelarasan status dalam “situasi luar biasa” dan perlu menilai setiap kes secara individu berdasarkan faktor serta maklumat berkaitan.

“Kami kembali kepada maksud asal undang-undang bagi memastikan warga asing mengikut sistem imigresen negara ini dengan betul.

“Mulai sekarang, warga asing yang berada di AS secara sementara dan mahu mendapatkan Kad Hijau perlu pulang ke negara asal mereka untuk membuat permohonan, kecuali dalam situasi luar biasa,” kata jurucakap USCIS Zach Kahler dalam satu kenyataan.

Panduan baharu itu terpakai kepada golongan bukan imigran seperti pelajar antarabangsa, pekerja sementara dan pelancong, yang menurut USCIS, dibenarkan memasuki AS “untuk tempoh singkat dan bagi tujuan tertentu”.

“Kunjungan mereka tidak sepatutnya menjadi langkah pertama dalam proses mendapatkan Kad Hijau,” kata Kahler.

Aktivis hak imigran mengkritik dasar itu dan memberi amaran bahawa ia boleh memisahkan keluarga, mewujudkan halangan baharu kepada pemohon serta mendedahkan sesetengah individu kepada tempoh menunggu yang panjang atau bahaya di negara asal mereka.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement