KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia supaya menolak politik kebencian dan perpecahan demi memastikan negara terus aman, maju serta dihormati di peringkat global.
Beliau berkata sudah tiba masanya golongan majoriti yang cintakan keamanan dan keharmonian tampil bersuara bagi mempertahankan nilai kemanusiaan, kasih sayang serta perpaduan antara kaum dan agama.
“Cukuplah politik kebencian dan perpecahan. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menentukan arah negara ini dengan hati nurani, kasih sayang dan semangat hormat sesama manusia,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari Wesak dan Wacana Harmoni Madani anjuran Majlis Perundingan Buddhis Malaysia (MBCC) di sini, pada Sabtu.
Perdana Menteri berkata Malaysia sejak awal penubuhannya dibina atas asas kepelbagaian kaum dan agama, justeru prinsip saling menghormati perlu terus diperkukuh dalam kerangka Malaysia Madani.
Beliau berkata konsep Madani bukan sekadar menumpukan pembangunan ekonomi, teknologi digital dan kecerdasan buatan, sebaliknya memberi penekanan terhadap nilai, etika dan moral berteraskan ajaran agama.
“Kita mahu pembangunan, inovasi dan teknologi, tetapi dalam masa sama kita mesti kekal manusiawi dengan nilai belas ihsan, hormat dan kasih sayang,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa semua agama mengajar kebaikan dan menolak kebencian.
“Dalam Islam kita diajar tentang rahmah dan kasih sayang, manakala dalam ajaran Buddha terdapat konsep metta dan karuna. Namun malangnya hari ini yang sering ditonjolkan ialah kebencian dan permusuhan,” katanya.
Beliau turut mengakui terdapat segelintir pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, katanya golongan minoriti ekstrem tidak seharusnya dibenarkan menguasai suara majoriti rakyat yang cintakan keamanan.
“Saya percaya majoriti rakyat Malaysia tanpa mengira kaum termasuk Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain, mahukan negara yang aman, stabil dan berjaya,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan, meningkatkan mutu pendidikan serta menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Beliau berkata kerajaan juga sentiasa berusaha mencari jalan terbaik membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa, termasuk kesan konflik geopolitik global.
“Tak bolehkah kita bantu semua rakyat yang susah tanpa mengira kaum sebagai satu keluarga besar Malaysia?” katanya.
Selain itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus menyokong sambutan Hari Wesak serta program keharmonian antara agama bagi memperkukuh perpaduan negara.
“Saya yakin Malaysia akan terus berjaya jika rakyat memilih jalan damai, hormat dan kasih sayang,” katanya.