Skip to main content

Malaysia

Pemandu lori didakwa pandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian bayi

51744102561_CourtMahkamah.jpg
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah lori di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan yang merupakan penumpang sebuah kereta. - Gambar fail

SIK: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki, minggu lepas.

Mohamad Amiruddin Mohamed Radzi, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah lori di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan yang merupakan penumpang sebuah kereta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik di Baling pada 10.30 malam, 7 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Jamal manakala Mohamad Amiruddin diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Intan Nursyafina Baharudin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan seorang daripada penjamin mestilah bukan ahli keluarganya dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video