Skip to main content

Malaysia

Empat pelajar cedera terlibat dalam kemalangan di Machang

IPD Machang
Kejadian nahas melibatkan empat sekeluarga yang merupakan pelajar di dua buah sekolah di Machang pagi tadi. -Foto Bernama

MACHANG: Empat sekeluarga yang juga merupakan pelajar di dua buah sekolah di Machang cedera dalam satu kemalangan yang berlaku pagi tadi.

Kakak mangsa, Mas Asmah Rosli, 19, berkata dia mengetahui mengenai kejadian kemalangan membabitkan dua adiknya itu selepas dihubungi ibu saudara Saripah Ismail, 48, pada 8.01 pagi.

"Adik saya Mohd Muskir Rosli, 14, dan Mas Siti Rosnani Rosli, 7, ketika ini berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami cedera parah pada bahagian paha.

"Manakala, dua lagi anak saudara saya iaitu Mohd Hakikat Ab Rahman, 9, dan Mohd Zulhaqif Mohd Zulkifli, 12, juga mengalami cedera parah pada bahagian paha," katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Asmah berkata kesemua mereka ketika ini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai.

"Saya dimaklumkan kemalangan tersebut melibatkan motosikal yang dinaiki adik beradik dan anak saudara saya dengan sebuah kereta sewaktu mereka ingin pergi ke sekolah.

"Jarak rumah saya di Kampung Berangan Mek Nab di sini kira-kira enam kilometer dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan," katanya yang menambah motosikal tersebut ditunggang Mohd Muskir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Supt Azuhar Md Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kenyataan media berhubung kemalangan tersebut akan menyusul apabila laporan disahkan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kemudiannya, Azuhar berkata dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu sebuah motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang oleh pelajar bersama tiga pembonceng dari arah Kuala Krai ke Machang telah membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.

"Motosikal tersebut telah melanggar bahagian hadapan sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang ketika itu sedang melalui laluan sah dari arah Machang ke Kuala Krai berhampiran SMK Seri Intan.

"Akibat perlanggaran tersebut, pemandu Honda Jazz dan penumpang tidak mengalami kecederaan, manakala penunggang serta pembonceng motosikal yang merupakan pelajar terbabit mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222.

 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video