Skip to main content

Malaysia

Kes tembakan Bangsar: Pemandu lori didakwa cuba bunuh

51744102561_CourtMahkamah.jpg
A. Lekeswaran, 27, didakwa cuba membunuh pemilik perniagaan besi buruk, B. Yoga Sundram, 41, di hadapan pusat hiburan di Jalan Telawi, Bangsar, pada 3.15 pagi, 22 April lepas. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dalam kejadian tembakan di sebuah premis pusat hiburan di sini bulan lepas.

A. Lekeswaran, 27, didakwa cuba membunuh pemilik perniagaan besi buruk, B. Yoga Sundram, 41, di hadapan pusat hiburan di Jalan Telawi, Bangsar, pada 3.15 pagi, 22 April lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha tidak menawarkan jaminan atas kesalahan yang dilakukan adalah serius, selain mangsa kini berada dalam keadaan tenat di Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Universiti Malaya.

"Pemberian jaminan adalah tidak wajar kerana ia akan memberikan kelebihan terhadap tertuduh untuk melarikan diri selain berpotensi untuk mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

"Difahamkan juga tertuduh dijangka menghadapi pertuduhan berkaitan senjata api di Mahkamah Klang, Selangor. Oleh itu, saya bantah permohonan jaminan dan mohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin," katanya.

Peguam Muhammad Izz Khan Mohd Nor Khan yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan, selain memaklumkan anak guamnya bersedia menerima syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid bagaimanapun tidak membenarkan Lekeswaran diikat jamin dan menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 April lepas, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi itu berpunca daripada pertelingkahan antara dua kumpulan di luar sebuah pusat hiburan. 

Seorang suspek, katanya dipercayai melepaskan tembakan ke arah kumpulan lawan manakala seorang lagi mengacukan pistol tiruan sebelum mereka melarikan diri.

Kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun cedera pada bahagian perut dan dirawat di hospital.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video