Skip to main content

Malaysia

Pelajar IPG lemas: Keluarga mangsa tuntut laporan menyeluruh, telus

AWANI
Kata Kee Ching Ching, siasatan terhadap kes terbabit juga perlu dilaksanakan secara telus terutama melibatkan prosedur operasi standard (SOP) semasa melakukan aktiviti berkayak. - Gambar Astro AWANI

ALOR SETAR: Keluarga mendiang Joey Ling Lin Siang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan laporan penuh dan terperinci berhubung siasatan terhadap insiden dua penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka pada Sabtu.

Ibu saudara mangsa, Kee Ching Ching, 46, berkata siasatan terhadap kes terbabit juga perlu dilaksanakan secara telus terutama melibatkan prosedur operasi standard (SOP) semasa melakukan aktiviti berkayak.

"Saya di sini mewakili keluarga berharap agar KPM dapat memberikan kami siasatan penuh yang telus terhadap insiden atau kes yang berlaku dan kami mahukan maklumat berkaitan dengan aktiviti khususnya melibatkan keselamatan dan SOP,

"Kami juga mahu tahu lokasi kejadian itu sesuai untuk dilaksanakan aktiviti seperti berkayak dan berharap agar KPM dapat membuat penilaian semula terhadap silibus membabitkan aktiviti luar kelas,

"Kami juga berharap agar insiden seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang," kata Ching Ching.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu keluarga dan memberikan penghormatan terkahir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20.

Image
Fadhlina Sidek
Fadhlina meluangkan masa bertemu keluarga dan memberikan penghormatan terkahir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang dan Joey Ling Lin Siang di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, malam tadi. - Gambar Astro AWANI

Turut sama, lebih 100 pelajar IPG Kampus Perlis serta tenaga pengajar dan pihak pengurusan memberikan penghormatan terakhir kepada jasad kedua-dua mendiang di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah.

Jasad dua pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani IPG Kampus Perlis itu dibawa keluar dari hospital ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna kira-kira pukul 11.15 malam.

Mendiang Jia Siang dan Lin Siang seterusnya akan dibawa pulang ke Kuching dan Sibu, Sarawak untuk disemadikan pada Selasa.

Pada Sabtu, media melaporkan dua penuntut sebuah institut perguruan ditemukan lemas selepas kayak yang dinaiki mereka dipukul ombak di kawasan Pantai Merdeka.

Mangsa ditemui tersangkut pada jaring nelayan tempatan dalam keadaan masih memakai jaket keselamatan.

 

Must Watch Video