Skip to main content

Malaysia

Pekerja restoran warga India dipenjara enam tahun, sebabkan kematian kenalan senegara

71743102937_courtgavel.jpg
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap Murthi di lorong belakang sebuah kafe di Jalan Tun H.S Lee, Dang Wangi pada 19 Julai 2022. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang pekerja restoran warganegara India, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian terhadap kenalan senegaranya, empat tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Pushpa Raj Alexander, 50, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 20 Julai 2022.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap Murthi di lorong belakang sebuah kafe di Jalan Tun H.S Lee, Dang Wangi di sini antara 2.20 petang hingga 2.30 petang pada 19 Julai 2022 mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum ini, lelaki itu didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun ditawarkan dengan pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian, selepas pihak pembelaan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pergaduhan antara Pushpa Raj dengan mangsa, berikutan telefon bimbitnya diambil rakan mangsa.

Lelaki itu telah menghayungkan pisau ke arah perut mangsa dan menikam perutnya. Mangsa telah mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman berat, kerana ini merupakan kesalahan serius selain mengambil kira perbuatan tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan dia sepatutnya bersikap lebih rasional dan matang.

“Dalam kes ini, pergaduhan berlaku disebabkan telefon bimbit dan ia telah mendorong tertuduh bertindak untuk mendapatkan semula telefon bimbit tersebut. Namun tindakan tertuduh itu adalah tidak wajar sehingga menyebabkan kematian terhadap mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, peguam A.N. Subramaniyan yang mewakili Pushpa Raj memohon hukuman ringan, kerana anak guamnya merupakan mangsa dalam kes ini berikutan telefon bimbitnya telah diambil oleh rakan mangsa.

“Telefon bimbit adalah alat untuk tertuduh berkomunikasi dengan keluarganya. Sekiranya telefon bimbit itu tidak diambil, insiden ini tidak akan terjadi. Kehilangan telefon bimbit menyebabkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan keluarga,” kata peguam itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video