IPOH: Seorang pekerja di pusat boling di Tanjong Malim sempat mengadu mengalami sakit kepala kepada isterinya sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik stor peralatan pembersihan di premis berkenaan, awal pagi tadi.
Pengurus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sports Bowl Dzulkarnain Sapian berkata kejadian itu hanya disedari kira-kira 1 pagi selepas isteri mangsa datang ke pusat boling terbabit untuk mencari suaminya yang tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja, malam tadi.
Dzulkarnain berkata beliau bersama-sama isteri mangsa dan seorang petugas cuba membuka pintu stor itu yang kebiasaannya tidak berkunci, namun sukar dibuka kerana didapati kepala mangsa berada di sebalik pintu berkenaan sehingga menyebabkannya tersangkut dan tidak dapat dibuka sepenuhnya.
"Selalunya, stor yang simpan barang-barang cleaning ini kecil sahaja, tak pernah berkunci. Pintu bukan terkunci … tetapi tertahan oleh kepala mangsa, apabila pihak keselamatan UPSI berjaya masuk ke dalam stor itu, baru kita boleh betulkan kedudukan arwah.
"Dia ada mengadu dengan isterinya petang semalam katanya dia sakit kepala. Itu sahaja yang saya tahu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dzulkarnain turut mengesahkan mangsa Mohd Radzi Ariffin, 53, merupakan pekerja syarikat swasta UPSI Sports Bowl yang beroperasi di dalam kampus UPSI sebagai tukang cuci.
Solat jenazah, katanya, akan dilakukan di Masjid Al Mursyidin UPSI selepas selesai bedah siasat oleh pihak forensik.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Md Amin Md Taff dalam kenyataan di laman Facebook berkata mangsa disyaki mengalami serangan jantung.
"Bedah siasat sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di Hospital Slim River dan insya-Allah jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Bernam.
"Pihak syarikat akan mengeluarkan kenyataan sebenar tentang kejadian. Pihak UPSI sentiasa memantau perkara ini dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga arwah," katanya.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan berkaitan kes itu pada 1.57 pagi, sebelum bomba tiba ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Sabarodzi berkata operasi tamat sepenuhnya pada 2.36 pagi, dan kes masih dalam siasatan pihak polis.
-- BERNAMA