KUALA LUMPUR: Profesion guaman perlu berevolusi seiring perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), dan tidak lagi berfungsi sekadar sebagai “enjin carian berbaju sut”.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan landskap perundangan global kini berada di ambang perubahan besar yang menuntut kemahiran baharu dalam kalangan peguam, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi.
“Menjelang 2030, aspek literal undang-undang statut dan preceden akan dikuasai oleh kecerdasan buatan (AI). Oleh itu, peguam tidak lagi sekadar ‘enjin carian berbaju sut’, kerana lebih banyak keperluan akan timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya pada Khamis.
Beliau menambah, perubahan tersebut menuntut peguam untuk membangunkan kemahiran yang tidak mudah ditiru teknologi, termasuk keupayaan membuat pertimbangan beretika dan memahami dimensi kemanusiaan dalam sesuatu pertikaian.
“Dalam dunia AI yang semakin autonomi, peguam mesti lebih daripada sekadar pakar teknikal. Mereka perlu menjadi autoriti etika, menjadi tunjang moral, memastikan yang betul itu juga adil,” ujarnya.
Dalam masa sama, Anwar turut menekankan keperluan untuk sistem pendidikan undang-undang menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, termasuk melatih pelajar menjadi lebih celik teknologi dan berupaya menilai data secara kritikal.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan profesion guaman terus relevan serta mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin kompleks, termasuk dalam menangani isu rentas sempadan, aset digital dan perubahan iklim.
Persidangan CLEA 2026 yang berlangsung di Universiti Malaya menghimpunkan pakar dan pengamal undang-undang dari seluruh Komanwel bagi membincangkan hala tuju pendidikan serta profesion guaman menjelang dekad akan datang.
Turut hadir persidangan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.