Skip to main content

Malaysia

PDRM perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan - Saifuddin

PUTRAJAYA, 13 April -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bagi Bulan April 2026 di Auditorium Setia Perkasa, Kompleks Setia Perkasa hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Saifuddin berucap pada Perhimpunan Bulan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran memperhalusi kaedah kerja dan penugasan anggotanya di stesen minyak berhampiran sempadan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berucap pada Perhimpunan Bulan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini, beliau berkata memandangkan arahan mengenai penempatan anggota itu masih baharu, PDRM perlu menumpukan kepada keupayaan pasukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas.

“...kerana keputusan (Jemaah Menteri) baru minggu lepas, pihak polis akan ambil masa untuk mengatur gerak, kemudian kita turunkan pasukan kita untuk meningkatkan tugasan tambahan ini seperti mana arahan oleh Jemaah Menteri.

“Jadi kita sukat (ukur) ikut keupayaan kita dengan SOP yang jelas supaya anggota yang ditugaskan tak samar-samar dari segi penugasan. Pertama, perhalusi dulu apa maksud penugasan, akta mana nak diguna pakai, pasukan mana yang kita nak atur gerak.  Itu saya serahkan kepada pasukan polis,” katanya.

Jemaah Menteri baru-baru ini mempersetujui syor menempatkan anggota polis di stesen minyak untuk memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan berikutan peningkatan risiko ketirisan bahan api akibat krisis tenaga global.

Ia sebagai peluasan kepada penempatan secara statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dilaksanakan sejak 20 Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengarahkan penambahbaikan segera fasiliti anggota keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan selepas mendapati keadaan kemudahan sedia ada kurang memuaskan.

Beliau berkata terdapat pos kawalan dan tempat rehat anggota yang berada dalam keadaan daif dan tidak selesa walaupun mereka memainkan peranan penting dalam mengekang aktiviti penyeludupan. 

“Kita ubah seperti mana kita ubah pos Wang Kelian. Belanja pun tak besar, yang itu kita segerakan untuk tunjuk bahawa kepimpinan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) ambil berat dan benda yang mudah macam tu kita selesaikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video