KUALA LUMPUR: U Mobile melancarkan portfolio pelan ULTRA5G merangkumi prabayar, pascabayar dan perusahaan sebagai usaha mempertingkat pengalaman ketersambungan digital yang lebih pantas, selamat dan boleh dipercayai di Malaysia.
Pelan baharu itu menampilkan gabungan empat elemen utama iaitu data lebih besar, kelajuan lebih tinggi, keselamatan dipertingkat serta kebolehpercayaan rangkaian, selari dengan keperluan pengguna masa kini yang semakin bergantung kepada internet dalam kehidupan harian.
Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna U Mobile, Navin Manian berkata pembangunan pelan tersebut dibuat berdasarkan analisis terhadap perubahan corak penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kami melihat bagaimana penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia terus berkembang, dan pada masa sama kami memperluaskan rangkaian Ultra 5G baharu.
“Berdasarkan dapatan itu, kami memperkenalkan rangkaian produk prabayar dan pascabayar baharu yang menggabungkan keperluan utama pengguna hari ini iaitu lebih data, kelajuan lebih tinggi, keselamatan dan kebolehpercayaan,” katanya.
Tambahnya, perbezaan utama pelan tersebut terletak pada lapisan keselamatan yang dibina terus dalam produk serta ciri akses rangkaian keutamaan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Perbezaan besar adalah pada aspek keselamatan yang kami integrasikan dalam produk, selain kebolehpercayaan melalui Ultra Priority Pass yang unik dan pertama di Malaysia. Semua ini disokong oleh rangkaian Ultra 5G yang kami percaya paling pantas dan boleh dipercayai, dan ini turut disahkan oleh Ookla serta Opensignal,” jelasnya.
Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah ULTRA5G Priority Pass yang membolehkan pengguna menikmati akses rangkaian khas ketika kesesakan tinggi.
Jelas Navin, ciri tersebut memberi kelebihan kepada pengguna terutama dalam situasi seperti acara berskala besar.
“Sebagai contoh di stadium bola sepak yang sesak, rangkaian biasanya akan perlahan kerana ramai pengguna serentak.
"Namun dengan 5G Priority Pass, pengguna akan mendapat laluan khas kepada rangkaian sekali gus mengurangkan kesesakan dan memastikan sambungan lebih lancar,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelan prabayar dan pascabayar turut menawarkan kuota data besar, kelajuan ultra pantas serta perlindungan keselamatan digital terbina bagi memastikan pengalaman pengguna lebih menyeluruh.
Bagi segmen perusahaan, U Mobile memperkenalkan pelan ULTRA Business yang memberi tumpuan kepada kestabilan rangkaian, ketersambungan global dan keselamatan siber.
Ketua Pegawai Perniagaan U Mobile, How Lih Ren berkata pelan tersebut dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar perniagaan yang memerlukan sambungan sentiasa aktif dan boleh dipercayai.
“Pelan ini direka dari perspektif asas perniagaan, di mana kami memahami bahawa operasi perlu sentiasa berjalan tanpa gangguan. Oleh itu, kami memberi fokus kepada ketersambungan yang stabil dan berdaya tahan supaya perniagaan kekal ‘always-on’,” katanya.
Beliau berkata, pelan tersebut turut mengambil kira keperluan perniagaan yang semakin merentasi sempadan negara serta peningkatan risiko keselamatan siber.
“Kami memastikan pengalaman ketersambungan bukan sahaja lancar di dalam negara, tetapi juga di peringkat global. Pada masa sama, kami mengambil pendekatan jelas dalam menyediakan perkhidmatan keselamatan rangkaian memandangkan ancaman siber semakin meningkat,” tambahnya.
Menurut beliau, pelan ULTRA5G Reserve dibina berasaskan tiga komponen utama iaitu akses rangkaian keutamaan, sambungan global premium serta keselamatan pintar merentas semua pelan pengguna dan perusahaan.
Selain itu, pelan tersebut turut disokong rangkaian 5G generasi baharu berasaskan AI dengan liputan meluas serta prestasi tinggi yang diiktiraf pihak industri.
Seiring pelancaran itu, U Mobile turut memperkenalkan kempen “Switch On Your Ultra” bagi memberi peluang kepada orang ramai mencuba rangkaian tersebut secara percuma.
“Kami turut melancarkan kempen ‘Switch On Your Ultra’ bermula hari ini bagi mana-mana rakyat Malaysia yang ingin mencuba rangkaian Ultra 5G baharu kami.
“Hanya imbas kod QR, ikuti langkah mudah dan anda boleh menikmati pengalaman 5G ultra pantas secara percuma selama tujuh hari,” ujarnya.