JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 11 bulan dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari tingkap sebuah rumah flat di tingkat lima di Bandar Uda Utama pada kira-kira jam 10.30 pagi, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, mangsa ditemui terbaring di kawasan tempat letak kenderaan di bawah flat berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap ruang tamu menggunakan sofa yang berada berhampiran tingkap tersebut.
"Tingkap tersebut didapati terbuka sedikit dan tidak berkunci ketika kejadian berlaku. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala dan leher serta dipercayai mengalami pendarahan dalaman.
"Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan kediaman terutama yang melibatkan kanak-kanak dengan memastikan tingkap serta ruang berisiko sentiasa dalam keadaan selamat.
"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan melalui hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan," ujarnya lagi. - Sinar Harian