KUALA LUMPUR: 70 peratus daripada perkara yang dipinda dalam Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 pada tahun ini adalah berkaitan tadbir urus korporat yang baik.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pindaan tersebut demi memastikan institusi tersebut kekal dipertahankan dan terpelihara.
“Siapa yang fit (layak) dan mempunyai kriteria bersesuaian untuk dilantik sebagai Ahli Majlis harus dijelmakan dalam akta ini,” katanya semasa menyampaikan ucap tama di Sesi Konsultasi Awam bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Rang Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2026 di sini, hari ini.
Asyraf turut membidas pandangan sesetengah pihak yang beranggapan pindaan tersebut dapat melemahkan kuasa Ahli Majlis MARA.
“Ada orang tanya saya ‘kenapa bodoh dengan buang kuasa yang ada pada kita?’ namun ini bukan soal individu, pengarah atau ahli-ahli majlis yang lain,” katanya.
Tambahnya, cadangan pindaan RUU tersebut juga akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
Asyraf turut menyatakan terdapat cadangan penubuhan empat jawatankuasa berkaitan yang akan ditubuhkan di bawah segmen tadbir urus melibatkan audit, pelaburan kewangan dan risiko.
“Ini adalah organ-organ tadbir urus yang secara umumnya wajib ada dalam mana-mana organisasi. Jika dibiarkan hanya sekadar bukan akta.
“(Atau) Ia bukan suatu hal yang wajib bagi organisasi, bergantung kepada pengurusan atau majlis nak wujudkan ataupun tidak, namun ianya bukan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.
Pada masa sama, Asyraf turut menyatakan pindaan tersebut bukan bertujuan mengubah atau melemahkan identiti Bumiputera dalam institusi itu, sebaliknya bagi memperkukuh tadbir urus.
“Ya, ada juga suara-suara nakal yang mempersoalkan seolah-olah akan ada campur tangan luar yang mahu merungkai atau meleburkan identiti Bumiputera, terutama dalam MARA. Ini tidak ada kaitan langsung,” katanya lagi.