Skip to main content

Malaysia

Ops Tiris 4.0 Bersepadu rekod 320 kes pelanggaran undang-undang - Fadillah

KOTA KINABALU, 20 April -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) ketika mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penubuhan Pasukan Petugas Khas OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini.  Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Ali (tengah) dan timbalannya Datuk Dr Fuziah Salleh (kiri).  --fotoBERNAMA (
Fadillah (kanan) ketika mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penubuhan Pasukan Petugas Khas OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini. - Foto Bernama

KOTA KINABALU: Sebanyak 320 kes pelanggaran undang-undang direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu bermula 16 Mac sehingga semalam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kes berkenaan dikesan hasil 18,261 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 138 kes melibatkan rampasan barangan kawalan diesel, diikuti petrol (77 kes), LPG (41 kes), minyak masak (35 kes), gula (22 kes) dan tepung gandum (tujuh kes), manakala seramai 85 individu ditahan bagi membantu siasatan.

“Ini isyarat tegas kerajaan terhadap pihak yang cuba mengaut keuntungan haram atas subsidi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan Pasukan Petugas Khas Ops Tiris 4.0 Bersepadu peringkat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalan Menterinya Datuk Dr Fuziah Salleh serta Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Caesar Mandela Malakun.

Fadillah berkata kejayaan itu dicapai hasil kerjasama strategik pelbagai agensi penguatkuasaan, dengan sebanyak 185 kes pelanggaran undang-undang direkodkan menerusi operasi dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Sementara itu, sebanyak 135 kes merupakan hasil serahan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan iaitu Pasukan Gerakan Am (74 kes), Pasukan Polis Marin (36 kes) dan Polis Diraja Malaysia (19 kes).

“Lain-lain kes serahan pula melibatkan sinergi agensi seperti APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia), JIM (Jabatan Imigresen), JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), ESSCOM (Eastern Sabah Security Command) dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Fadillah berkata Sabah mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 82 kes pelanggaran undang-undang, manakala Wilayah Persekutuan Labuan menyumbang dua kes.

Beliau berkata penguatkuasaan dilaksanakan di kedua-dua wilayah berkenaan berjaya merampas sebanyak 102,144 liter diesel dan 23,907 liter petrol, selain 9,605 kilogram (kg) minyak masak, 3,726 kg (gas LPG) dan 198 kg melibatkan rampasan gula.

Fadillah berkata konflik Asia Barat yang berlarutan sejak 28 Feb lepas telah mencetuskan krisis tenaga global dengan kesan serta merta iaitu lonjakan harga minyak dunia dan gangguan bekalan berpunca daripada sekatan di Selat Hormuz.

Beliau berkata konflik tersebut mendatangkan kesan besar kepada seluruh dunia termasuk rantau Asia dan tidak terkecuali Malaysia.

“Dalam mendepani cabaran itu termasuk implikasi kos subsidi bahan api yang melonjak amat tinggi, kerajaan komited meneruskan program subsidi bahan api dengan memastikan ia sampai kepada golongan sasar.

“Ia turut bertujuan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan asas. Usaha ini akan diperkukuh dengan mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan khususnya diesel dan petrol,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi, dan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan haram melalui aktiviti penyeludupan serta penyelewengan akan berdepan dengan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.

Beliau turut menggesa rakyat Sabah dan Labuan untuk menyertai inisiatif KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan sekali gus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah kunci utama untuk memastikan kedaulatan ekonomi negara terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video