Skip to main content

Malaysia

Pengarah filem 'Malam Terlarang' Nurhanisham Muhammad meninggal dunia

Pengarah Filem 'Malam Terlarang' Nurhanisham Muhammad Meninggal Dunia -- GEMPAK
Pengarah filem Nurhanisham Muhammad atau Labu dilaporkan meninggal dunia pada Khamis, mengejutkan industri hiburan tanah air. - Gambar Gempak

KUALA LUMPUR: Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pengarah filem, Nurhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu yang dilaporkan meninggal dunia pada Khamis di kediamannya di Kuala Selangor sekitar pukul 5 petang.

Berita pemergian pengarah tersebut turut dikongsikan ramai rakan artis dan penggiat seni menerusi media sosial yang menzahirkan ucapan takziah serta rasa sedih atas kehilangan itu.

 

 

Pelakon Kamal Adli menerusi satu hantaran di Threads menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat baik selain individu yang banyak meninggalkan kenangan buat dirinya.

“Cameraman, director, kawan baik saya. Abang Nurhanisham Muhammad atau Labu dah kembali ke rahmatullah.

“Abang Labu, Kamal tak sempat nak kerja dengan abang balik. Banyak sangat kenangan saya dengan abang. Berehatlah abang,” tulisnya.

Sementara itu, pelakon dan usahawan Fazura turut menzahirkan rasa sedih apabila hasrat untuk kembali bekerjasama dengan Allahyarham tidak kesampaian.

“Al-Fatihah. Pengarah tersohor negara, Abang Nurhanisham Muhammad atau mesra dengan panggilan Abang Labu telah kembali ke rahmatullah.

“Walaupun kita ada rencana nak kerjasama dan tak kesampaian, Faz tetap bersyukur dapat luangkan masa terakhir dengan abang lebaran baru-baru ini,” katanya.

Fazura turut menitipkan doa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT.

Untuk rekod, Allahyarham sebelum ini dikenali sebagai pengarah beberapa karya terbitan Astro Shaw termasuk filem Malam Terlarang, siri drama X-Change serta filem terbaharu Wantugo yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. - Gempak

Must Watch Video

Advertisement