Skip to main content

Malaysia

Peniaga buah lemas ketika berkelah di Air Terjun Belukar Bukit

51731770642_DrownGeneric.jpg
Mangsa telah pergi ke air terjun itu untuk berkelah bersama dengan 19 lagi ahli keluarga. - Gambar hiasan

KUALA BERANG: Seorang peniaga buah ditemukan maut dipercayai akibat lemas ketika mandi-manda bersama dengan keluarga di Air Terjun Belukar Bukit, Sekayu dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata pasukan penyelamat menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.22 petang sebelum seorang pegawai dan tiga anggota dikejarkan ke lokasi lima minit kemudian.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, Muhammad Zahari Mohd Zain, 26, dari Kampung Kelulut, Marang telah pergi ke air terjun itu untuk berkelah bersama dengan 19 lagi ahli keluarga namun hanya lima orang mandi termasuk mangsa manakala yang lain berehat di tepi sungai.

"Mangsa ditemukan oleh orang awam pada kira-kira 5 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri... bagaimanapun, pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharudin berkata jenazah mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun berikutan cuaca yang tidak menentu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement