KUALA TERENGGANU: Hanya lima daripada 413 bas ekspres yang diperiksa dikenakan tindakan dalam tempoh 11 hari pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri 2026 (Ops HRA 2026) di Terengganu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, tindakan berkenaan melibatkan kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan, cermin retak, keadaan tayar tidak memuaskan dan kesalahan teknikal lain.
"Untuk Ops HRA 2026, JPJ memberi tumpuan kepada kenderaan pengangkutan awam seperti bas ekspres dan bas persiaran yang membawa penumpang pulang ke kampung halaman serta kembali ke tempat kerja.
"Kita (JPJ) dapati tahap pematuhan operator serta pemandu bas ekspres di Terengganu terhadap undang-undang keselamatan sangat tinggi dan tiada kes serius dilaporkan," katanya pada Ops HRA 2026: JPJ Perhebat Pemeriksaan Terminal Bas-Nyawa Penumpang Jadi Keutamaan di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi.
Turut hadir Ketua Wilayah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Wilayah Timur, Mohammad Fakhri Mansor dan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Arzmi Abdullah.
Mohd Zamri berkata, pihaknya masih meneruskan siri penyamaran melibatkan lima pasukan terdiri daripada 10 anggota serta pegawai bagi memastikan pematuhan berterusan oleh pemandu bas dan penumpang terhadap undang-undang ditetapkan.
"Tempoh beberapa hari ini merupakan waktu puncak kerana penumpang bergerak balik ke destinasi masing-masing. Oleh itu, pihak JPJ akan memperhebat penguatkuasaan dan pemeriksaan demi keselamatan penumpang," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihak AADK turut menjalankan saringan air kencing terhadap 172 pemandu bas ekspres dari 16 Mac hingga semalam dengan didapati kesemuanya bebas daripada dadah atau penggunaan bahan terlarang.
-- BERNAMA