Skip to main content

Malaysia

Operasi Masyair ditambah baik: Sofa bed, khemah penebat haba, 600 tandas disediakan

Lembaga Tabung Haji memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam operasi Masyair musim haji tahun ini termasuk penyediaan sofa bed individu, khemah penebat haba serta penambahan tandas di Mina bagi meningkatkan keselesaan jemaah haji Malaysia. Foto Astro AWANI
Antara pembaharuan terbesar yang dilakukan TH tahun ini ialah penyediaan sofa bed untuk setiap jemaah di Mina dan Arafah yang boleh dilaraskan untuk duduk atau berbaring mengikut keselesaan masing-masing selain membantu menjadikan ruang khemah lebih tersusun dan selesa. - Gambar Astro AWANI

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam operasi Masyair musim haji tahun ini termasuk penyediaan sofa bed individu, khemah penebat haba serta penambahan tandas di Mina bagi meningkatkan keselesaan jemaah haji Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, operasi Masyair yang berlangsung bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bersamaan 25 hingga 29 Mei ini melibatkan hampir dua juta jemaah haji dari seluruh dunia yang akan berada di lokasi sama bagi melaksanakan kemuncak ibadah haji.

Menurut beliau, antara pembaharuan terbesar tahun ini ialah penyediaan sofa bed untuk setiap jemaah di Mina dan Arafah.

Katanya, sofa bed itu boleh dilaraskan untuk duduk atau berbaring mengikut keselesaan masing-masing selain membantu menjadikan ruang khemah lebih tersusun dan selesa.

“Setiap jemaah akan mendapat sofa bed masing-masing dan lokasi penempatan juga telah ditetapkan.

“Kita akan letakkan tanda nama dan gambar pada sofa bed supaya jemaah mudah mengenal pasti tempat masing-masing,” katanya ketika ditemui semasa lawatan media meninjau persiapan operasi Masyair di sini.

Image
Sumber: Astro AWANI
Mustakim menunjukkan rak khas untuk meletakkan beg, barangan peribadi dan kelengkapan mandian bagi memastikan ruang dalam khemah lebih kemas selain mengelakkan barang diletakkan di lantai. - Gambar Astro AWANI

Beliau berkata, TH turut menyediakan rak khas untuk meletakkan beg, barangan peribadi dan kelengkapan mandian bagi memastikan ruang dalam khemah lebih kemas selain mengelakkan barang diletakkan di lantai.

Dalam pada itu, Mustakim berkata, reka bentuk khemah di Arafah turut dinaik taraf dengan penggunaan bahan penebat haba bagi membantu mengurangkan suhu panas dalam khemah.

Katanya, setiap khemah juga dilengkapi pendingin hawa jenis split unit dengan unit luar diletakkan di bahagian atas khemah bagi mengelakkan haba terkena laluan pejalan kaki.

“Bila outdoor unit itu diletakkan di atas khemah, laluan di tepi khemah tidak lagi terasa panas seperti sebelum ini dan suhu dalam khemah juga menjadi lebih nyaman,” katanya.

Selain itu, jumlah tandas di Mina turut ditingkatkan hampir lima kali ganda berbanding musim lalu.

“Kalau sebelum ini hanya sekitar 100 tandas disediakan, tahun ini jumlahnya ditingkatkan kepada 600 tandas bagi mengurangkan kesesakan jemaah yang sering berlaku di Mina,” katanya.

Image
Sumber: Astro AWANI
Jumlah tandas di Mina turut ditingkatkan hampir lima kali ganda berbanding musim lalu. - Gambar Astro AWANI

Beliau berkata, TH juga mengambil kira keperluan komunikasi jemaah dengan menyediakan kemudahan pengecas telefon bimbit di kawasan sofa bed masing-masing di Mina hasil kerjasama dengan Holiday Inn Bakah.

Menurutnya, sebelum ini jemaah sering berebut atau mengecas telefon secara berselerak, namun tahun ini setiap jemaah akan mempunyai soket pengecas sendiri di kawasan masing-masing.

“Di Arafah pula kita sediakan pusat pengecasan khas untuk kegunaan jemaah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan jemaah supaya mematuhi arahan petugas TH serta membawa beg bersaiz kecil bagi memudahkan pergerakan dan penempatan di kawasan Masyair.

“Kita sudah sediakan makanan dan kelengkapan asas secukupnya. Jadi jemaah tidak perlu membawa terlalu banyak barang kerana ia akan mengambil ruang dalam khemah,” katanya.

Beliau berkata, setiap maktab tahun ini turut menggunakan warna berbeza selain papan tanda khas di pintu masuk bagi membantu jemaah mengenal pasti kawasan penempatan masing-masing dengan lebih mudah.

Mustakim turut memaklumkan persiapan keseluruhan operasi Masyair ketika ini telah mencapai lebih 90 peratus dan TH optimis semua kemudahan dapat digunakan sepenuhnya sebelum ketibaan jemaah ke Arafah dalam tempoh beberapa hari lagi.

Must Watch Video