KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal membuka permohonan pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat menyertai Program Kadet Juruterbang, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengumuman rasmi termasuk syarat kelayakan akan dibuat dalam masa terdekat.
"Insya-Allah dalam masa terdekat Mara akan keluarkan iklan beserta syarat kelayakan.
"Pastinya pelajar baharu yang mahu memohon kadet pilot ini mesti memenuhi syarat asas yang ditetapkan oleh akademi latihan penerbangan seperti Malaysia Aviation Group (MAG) dan BATS.
"Akademi-akademi yang ditaja Mara juga mesti ada perjanjian dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk menjamin pekerjaan kepada pelatih-pelatih yang bakal mendapat pembiayaan Mara," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook pada Sabtu.
Menurut beliau, antara kriteria utama yang perlu dipenuhi termasuk latar belakang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau menjelaskan, walaupun permohonan dibuka kepada semua calon yang layak, keutamaan tetap diberikan kepada pelajar tahfiz yang mengikuti aliran STEM.
"Mereka akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga. Fasa terakhir temuduga adalah dengan Pengerusi Mara sendiri untuk sesi tebuk hafazan atau Tasmik Al-Quran," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendekatan itu bertujuan melahirkan golongan profesional yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang teknikal, malah memiliki asas agama yang kukuh.
Program berkenaan juga dilihat sebagai usaha Mara memperluas peluang kerjaya berkemahiran tinggi kepada pelajar tempatan, khususnya dalam industri penerbangan yang semakin kompetitif.
Selain itu, keperluan perjanjian antara akademi latihan dan syarikat penerbangan turut ditekankan bagi memastikan jaminan pekerjaan kepada graduan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat latihan.
Inisiatif tersebut dijangka mendapat sambutan terutama dalam kalangan pelajar tahfiz yang berpotensi tinggi dalam bidang STEM serta bercita-cita untuk menceburi kerjaya sebagai juruterbang.