Skip to main content

Dunia

Ratusan hadiri konsert terbuka bantah penyertaan Israel di Eurovision 2026

Hundreds attend anti-Eurovision open air concert in Vienna
Konsert bertemakan “Tiada Pentas untuk Genosid” (No Stage for Genocide) itu diadakan hanya beberapa jam sebelum pentas akhir Eurovision berlangsung pada Sabtu malam. -Foto Reuters

VIENNA: Ratusan penunjuk perasaan menghadiri konsert terbuka di Vienna sebagai tanda solidariti membantah penyertaan Israel dalam Pertandingan Lagu Eurovision 2026.

Konsert bertemakan “Tiada Pentas untuk Genosid” (No Stage for Genocide) itu diadakan hanya beberapa jam sebelum pentas akhir Eurovision berlangsung pada Sabtu malam.

Perhimpunan aman tersebut dianjurkan oleh beberapa kumpulan artis dan aktivis kemanusiaan Eropah yang mengkritik tindakan Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) kerana membenarkan penyertaan Israel di tengah konflik di Gaza.

Di lokasi, penunjuk perasaan dilihat membawa bendera Palestin serta sepanduk yang menggesa boikot siaran pertandingan itu sebagai tanda protes.

“Kami berkumpul di sini untuk menyampaikan mesej bahawa seni dan muzik tidak wajar digunakan bagi memperbaiki imej mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik,” kata salah seorang penganjur, menurut laporan Reuters.

Bantahan di Vienna dilaporkan semakin meningkat selepas wakil Israel mara ke peringkat akhir menerusi pusingan separuh akhir awal minggu ini.

Menurut laporan media, isu penyertaan Israel turut mencetuskan tekanan dalam kalangan negara peserta, termasuk dakwaan beberapa negara menarik diri daripada pertandingan tahun ini.

Dalam perkembangan sama, kawalan keselamatan di sekitar venue utama Eurovision di Vienna diperketatkan bagi memastikan kelancaran acara kemuncak tersebut.

Must Watch Video