BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan nilai rampasan petrol dan diesel berjumlah lebih RM32 juta menerusi Op Tiris 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara dari 1 Januari 2024 hingga 27 Mac tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil, berkata dalam tempoh tersebut sebanyak 38,615 pemeriksaan dilakukan dan 1,371 kes direkodkan dengan jumlah tangkapan seramai 667 orang.
“KPDN akan terus mempertingkat operasi bersepadu bagi membanteras sebarang aktiviti ketirisan, penyeludupan dan penyelewengan bahan api petrol serta diesel.
“Langkah ini diperkukuh melalui kolaborasi strategik bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata kerjasama antara agensi itu akan memperketatkan lagi kawalan di semua pintu sempadan negara dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar, stesen minyak serta pemborong.
Risikan, pemeriksaan dan pemantauan secara intensif turut dilaksanakan ke atas stesen minyak dan di kawasan tumpuan, katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Nizam berkata KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahupun sindiket supaya tidak mengambil kesempatan dalam situasi konflik di Asia Barat ketika ini.
“KPDN akan memastikan kestabilan bekalan barang kawalan petrol dan diesel terjamin di pasaran meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik akibat konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
“KPDN telah merangka strategi yang lebih agresif bagi mendepani sebarang kemungkinan gangguan bekalan bahan api global yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya.
- BERNAMA