Skip to main content

Malaysia

Op Taring Chiller: Polis rampas 34 tan daging babi dan ayam tanpa sijil halal, 32 individu ditahan

Karkas Babi
Serbuan dijalankan di tiga premis di sebuah kawasan perindustrian di Subang yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan makanan sejuk beku secara tidak sah. -Gambar PDRM

KUALA LUMPUR: Seramai 32 individu, termasuk warga tempatan dan asing, ditahan dalam operasi bersepadu Op Taring Chiller yang dijalankan di sekitar Subang, pada Rabu.

Kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 59 tahun, membabitkan tiga pemilik premis, pengurus syarikat serta pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zaki Ashar, berkata pihaknya turut merampas 34 tan karkas daging babi serta 97 kotak daging ayam sejuk beku yang tidak mempunyai sijil halal.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1.6 juta.

Menurut Mohd Zaki, serbuan dijalankan di tiga premis di sebuah kawasan perindustrian di Subang yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan dan penyimpanan makanan sejuk beku secara tidak sah.

“Turut disita tiga unit alat penimbang serta tiga buah lori satu tan yang dianggarkan bernilai RM350,000,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Zaki, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Mohd Zaki berkata, operasi berkenaan berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku yang dikesan aktif di sekitar Lembah Klang.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Must Watch Video