TUMPAT: Polis akan menumpukan penugasan di 109 lokasi di Kelantan yang dikenal pasti berlaku kerap kemalangan dan kesesakan lalu lintas sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina bermula pada Ahad.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata daripada jumlah itu, 42 lokasi adalah kawasan kerap berlaku kesesakan lalu lintas, manakala bakinya kawasan kerap berlaku kemalangan.
"Penguatkuasaan akan membabitkan kepada enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
"Kita juga akan menggunakan khidmat dron bagi memantau kesesakan jalan raya dan pemandu yang melakukan kesalahan trafik," katanya kepada pemberita selepas Program Advokasi, Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya di Pasir Pekan di sini pada Ahad.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengatur gerak 30 pegawai dan 200 anggota untuk ditempatkan di lokasi terlibat.
"Antara langkah diambil ialah mewujudkan Skuad Jem dan Op Lancar bermula 11 hingga 22 Feb, selain penubuhan Bilik Gerakan Subtek Op Selamat bagi mengumpul data pelaporan sepanjang tempoh operasi.
"Penggiliran penugasan anggota dilaksanakan secara 24 jam bagi memastikan pemantauan dan tindakan segera di lokasi terlibat," katanya.
Mohd Yusoff berkata berdasarkan statistik yang direkodkan dalam dua Op Selamat Tahun Baharu Cina sebelum ini, jumlah kes kemalangan menunjukkan penurunan ketara apabila 252 kes kemalangan direkodkan termasuk lapan kes maut pada 2024, berbanding 228 kes kemalangan melibatkan tiga kes maut pada tahun lepas.
Beliau menasihati orang ramai supaya merujuk laman media sosial berkaitan aliran trafik bagi mendapatkan maklumat laluan alternatif sebelum memulakan perjalanan.
-- BERNAMA