Skip to main content

Malaysia

Nilai sitaan dalam Operasi Bersepadu Khazanah cecah RM398.6 juta sejak 2019 hingga 2025 - Perhilitan

JERANTUT, 12 Mac -- Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (tengah) menunjukkan kulit harimau yang disita pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Taman Negara hari ini.  Turut kelihatan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan (kiri).  -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
OBK ialah inisiatif strategik kerajaan dalam membanteras jenayah berkaitan pencerobohan hutan, pembalakan haram, kecurian hasil hutan negara dan pemburuan hidupan liar. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Nilai keseluruhan sitaan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak 2019 hingga 2025 dianggarkan mencecah RM398.6 juta.

Perhilitan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, angka itu meliputi pemusnahan sebanyak 2,838 jerat hidupan liar dan 874 tapak khemah haram.

"Sepanjang tempoh pelaksanaan OBK dari tahun 2019 hingga 2025, sebanyak 834 kertas siasatan telah dibuka dengan tangkapan sebanyak  1,198 individu, terdiri daripada 904 rakyat Malaysia dan 294 warga asing," menurut kenyataan itu. 

OBK ialah inisiatif strategik kerajaan dalam membanteras jenayah berkaitan pencerobohan hutan, pembalakan haram, kecurian hasil hutan negara dan pemburuan hidupan liar. 

Pelaksanaan OBK selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan undang-undang berkaitan.

Mengambil contoh beberapa kes yang diselesaikan jabatan itu, pada 4 April lepas satu aktiviti penyeludupan melibatkan warga Vietnam berjaya ditumpaskan dengan rampasan bahagian dan organ hidupan liar, termasuk harimau, hempedu beruang, ular sawa dan primat, yang dianggarkan bernilai RM36.8 juta. 

"Selain itu, Sarawak Forestry Corporation dan polis juga berjaya mematahkan cubaan penyeludupan pada Januari lepas melibatkan 10 kontena rotan bernilai RM2.5 juta, yang dipercayai dibawa masuk dari Kalimantan untuk dieksport ke luar negara," menurut Perhilitan. 

Kesemua kejayaan berkenaan hasil komitmen tinggi dan kerjasama erat antara semua agensi dan pendekatan bersepadu itu diyakini mampu memberikan impak signifikan, serta menghantar mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah yang mengancam khazanah negara. 

"Kerajaan Malaysia memandang serius aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan pencerobohan kawasan perlindungan, serta tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," menurut Perhilitan.

Sehubungan dengan itu, orang awam digesa untuk bersama-sama memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar. 

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman web www.wildlife.gov.my.

-- BERNAMA

Must Watch Video