BIRMINGHAM: Syarikat induk British Airways memberi amaran bahawa harga tiket penerbangan mungkin meningkat susulan krisis bahan api berkaitan penutupan Selat Hormuz yang mendorong kenaikan kos minyak, lapor Anadolu Ajansi.
International Airlines Group (IAG) pada Jumaat berkata konflik di Asia Barat meningkatkan harga bahan api jet, yang berkemungkinan dipindahkan kepada penumpang walaupun usaha dibuat untuk menampan kos melalui lindung nilai bahan api.
Syarikat itu berkata ia “tidak terkecuali” daripada kesan lebih luas krisis berkenaan, walaupun setakat ini belum mengalami gangguan bekalan bahan api.
Amaran itu dibuat ketika kapal tangki minyak masih tidak dapat melalui Selat Hormuz, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kekurangan bekalan. Kerajaan United Kingdom berkata pihaknya sedang memantau rapat stok bahan api.
Sebagai respons, pihak berkuasa melonggarkan peraturan di lapangan terbang United Kingdom dengan membenarkan syarikat penerbangan membatalkan penerbangan tanpa kehilangan slot berlepas dan mendarat sekiranya berlaku kekurangan bahan api.
Beberapa syarikat penerbangan termasuk Jet2 berkata operasi mereka setakat ini tidak terjejas, manakala pegawai industri memberi amaran krisis itu boleh menyebabkan pembatalan penerbangan dan kenaikan tambang dalam beberapa minggu akan datang.
-- BERNAMA-ANADOLU