Skip to main content

Malaysia

Nelayan tular isi minyak dalam tong ada permit sah - KPDN Pulau Pinang

Gambar/ Media sosial
KPDN berkata, semakan mendapati individu itu seorang nelayan dan mempunyai permit sah bagi pembelian bahan api mengikut peruntukan undang-undang. - Gambar/ Media sosial

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengesahkan tindakan seorang individu mengisi minyak ke dalam tong di sebuah stesen minyak di Jalan Tengah, Bayan Lepas yang tular di media sosial tidak melanggar undang-undang.

Pengarahnya S. Jegan berkata semakan mendapati individu itu seorang nelayan dan mempunyai permit sah bagi pembelian bahan api mengikut peruntukan undang-undang dan tertakluk kepada had kuota yang telah ditetapkan.

“Sehubungan dengan itu, aktiviti pembelian minyak oleh individu tersebut mematuhi peraturan dan tidak melibatkan sebarang kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Jegan berkata sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN negeri telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut serta mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden itu. 

Beliau berkata sebarang pembelian melebihi 20 liter ke dalam tong harus mendapatkan permit khas barang kawalan berjadual daripada KPDN dan lazimnya diberikan bagi kegunaan tertentu seperti pengoperasian jentera pertanian serta perikanan tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Jegan berkata penjualan bahan api ke dalam bekas selain tangki asal kenderaan melebihi 20 liter tanpa permit yang sah ialah satu kesalahan dan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru, beliau berkata pihaknya menjalankan pemantauan berterusan di stesen minyak dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

Semalam, satu video berdurasi 1.01 minit tular di media sosial memaparkan seorang lelaki mengisi minyak ke dalam beberapa tong plastik di dalam keretanya di sebuah stesen minyak di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video