Skip to main content

Malaysia

Nelayan maut dua bot bertembung di muara sungai

kemalangan bot nelayan
Kemalangan itu menyebabkan bot dinaiki mangsa mengalami kerosakan dan pecah pada bahagian hadapan. - Gambar/ PDRM

BANDAR PERMAISURI: Seorang nelayan maut selepas bot gentian kaca dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi bot lain muara Kuala Sungai Mangkok di sini pagi tadi.

Mangsa Mohd Adli Zakaria, 53, meninggal dunia selepas tercampak ke bahagian belakang bot akibat kemalangan itu dan tidak sedarkan diri. 

Ketua Polis Daerah Setiu Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata kejadian berlaku pada 6.15 pagi apabila bot dipandu Tengku Anuar Tengku Mohamed, 55, bertembung dengan bot dinaiki nelayan Anuar Che Karim, 60 tahun. 

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya dari jeti Kampung Baru Penarik keluar untuk memukat udang di laut perairan Setiu sebelum bot mereka berlanggar dengan bot dari laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Mohd Zain berkata kemalangan menyebabkan bot dinaiki mangsa mengalami kerosakan dan pecah pada bahagian hadapan. 

Beliau berkata Tengku Anuar telah membawa mangsa pulang ke jeti dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas. 

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video