Skip to main content

Malaysia

Naik taraf Jalan Brinchang, laluan Kea Farm dijangka siap Februari 2028 - Alexander

KUALA LUMPUR, 5 Mac -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Alexander berkata, projek itu merupakan antara langkah proaktif kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik yang meruncing di Cameron Highlands. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong di kawasan Brinchang serta pembinaan jalan sehala di Kea Farm, Cameron Highlands sepanjang tiga kilometer dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2028.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang kini berada pada tahap kemajuan fizikal 38 peratus itu merupakan antara langkah proaktif kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik yang meruncing di Cameron Highlands.

Beliau berkata skop utama projek tersebut meliputi kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT59 sepanjang satu kilometer dari Bulatan McDonald’s ke Persimpangan Brinchang/Time Tunnel.

"Susulan kajian kesesakan lalu lintas yang dijalankan kementerian pada September 2020, kerajaan turut meluluskan kesinambungan projek melalui RP3 RMK12 yang melibatkan pembinaan jalan pintasan Tanah Rata.

"Projek fasa seterusnya merangkumi naik taraf Jalan Persekutuan FT59 (Tanah Rata-Kea Farm) dan FT434 (Jalan Griddle) dengan anggaran panjang keseluruhan 10 kilometer. Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada kontraktor pada 11 Feb, dengan tarikh milik tapak pada 16 Feb," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Alexander menjawab pertanyaan Senator Datuk Leong Ngah Ngah yang ingin tahu langkah konkrit Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas yang berlarutan di Cameron Highlands termasuk pembinaan jalan alternatif seperti jejambat.

Selain itu, Alexander berkata ketika ini kementeriannya sedang memperincikan cadangan pemasangan papan tanda digital di lokasi strategik seperti Simpang Pulai untuk menyalurkan maklumat masa nyata mengenai tempoh perjalanan ke pusat peranginan tersebut bagi membantu pengguna merancang perjalanan.

Mengenai cadangan pembinaan jejambat dan terowong bagi mengurangkan gangguan terhadap kawasan kebun sedia ada, beliau berkata KKR sedia meneliti sekiranya ia dikemukakan oleh kerajaan negeri untuk dimasukkan ke dalam senarai keutamaan Rolling Plan akan datang.

Katanya setiap perancangan pembangunan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar di kawasan tanah tinggi tersebut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video