Skip to main content

Malaysia

NADI Terengganu diperkasakan, pastikan manfaat dinikmati komuniti - Fahmi

KUALA TERENGGANU, 13 April -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengadakan sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi panel penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi Negeri Terengganu di sini, hari ini._BERNAMA
Fahmi mengadakan sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi panel penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi Negeri Terengganu di sini, hari ini. - Foto Bernama

KUALA NERUS: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Terengganu akan terus diperkasakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh seluruh masyarakat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu diperkukuh menerusi pelantikan lapan Pengerusi Panel Penasihat NADI di negeri itu yang menerima watikah pelantikan hari ini.

Beliau berkata Terengganu kini mempunyai 72 pusat NADI yang beroperasi di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus berperanan sebagai hab penyebaran maklumat serta pemerkasaan digital komuniti.

“Pelantikan panel penasihat ini merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan yang sama di beberapa negeri lain.

“Setakat ini, sebanyak 106 Pengerusi Panel Penasihat telah dilantik melibatkan negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan kini Terengganu,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI, di sini hari ini.

Fahmi berkata pelantikan itu diharap dapat memastikan semua 72 NADI di Terengganu dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja oleh komuniti berhampiran, malah diperluas ke kawasan lain.

“Biasanya komuniti dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer menerima manfaat paling besar namun kita mahu perkhidmatan NADI dibawa ke kawasan yang jarang disantuni. Ini penting bagi meningkatkan kesedaran umum, khususnya berkaitan bahaya penipuan dalam talian menerusi Kempen Internet Selamat,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar memantau penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak yang berusia bawah 16 tahun bagi mengelakkan mereka terdedah kepada kandungan tidak sesuai.

Dalam pada itu, beliau meminta pengurusan NADI bekerjasama rapat dengan Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyampaikan maklumat tepat serta mudah difahami kepada masyarakat.

“Maklumat perlu disampaikan dengan cara lebih mudah agar dapat difahami khalayak umum pada bila-bila masa,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video