Skip to main content

Malaysia

My50 diteruskan, ERL perkenal pas perjalanan bulanan baharu - Loke

Anthony Loke ETS
Kerajaan meneruskan pelaksanaan Pas Bulanan Perjalanan Tanpa Had My50 di Lembah Klang bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat. - Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Kerajaan meneruskan pelaksanaan Pas Bulanan Perjalanan Tanpa Had My50 di Lembah Klang bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pas My50 menawarkan diskaun sebanyak 67 peratus daripada nilai sebenar RM150, sekali gus membolehkan penggunaan tanpa had selama 30 hari melibatkan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.

Menurut beliau, inisiatif itu terus mendapat sambutan apabila kira-kira 40 peratus pengguna pengangkutan awam kini memanfaatkan pas berkenaan.

“Pas My50 ini memberi manfaat besar kepada pengguna harian dan berkala dengan memastikan akses berterusan ke tempat kerja tanpa beban kewangan tambahan,” katanya.

Beliau menambah, langkah itu juga dapat membantu pengguna merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih teratur, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos bahan api buat masa ini. 

Dalam masa sama, katanya, Express Rail Link (ERL) turut memperkenalkan inisiatif bersasar menerusi MyPutrajaya Monthly Travel Card (MTC) dan MyKLIA Monthly Travel Card.

Loke berkata demikian dalam sidang media Kempen Penggunaan bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di Putrajaya pada Selasa. 

“MyPutrajaya MTC ditawarkan khusus kepada penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya, manakala MyKLIA Monthly Travel Card pula dikhaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2,” ujarnya.

Menurut beliau, kedua-dua pas tersebut menawarkan perjalanan tanpa had sepanjang tempoh langganan pada kadar lebih rendah.

“Melalui inisiatif ini, pengguna boleh menikmati diskaun sehingga 90 peratus berbanding tambang biasa bergantung kepada sektor perjalanan,” katanya.

Kerajaan berharap pelaksanaan pelbagai inisiatif itu dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta meringankan kos sara hidup rakyat.

Must Watch Video