Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Mandat IAEA bukan urus peluru berpandu, Selat Hormuz - Kementerian Luar Iran

Iran pursues diplomatic path, but remains vigilant: spokesman
Baghaei (foto) menegaskan IAEA tidak seharusnya mencampuri urusan di luar bidang kuasanya, termasuk peluru berpandu Iran atau cara Tehran mengurus dasar kedaulatan negara. -Gambar fail

TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, membidas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dengan menegaskan bahawa mandat agensi itu terhad kepada pengesahan teknikal, bukan menyampaikan mesej politik berkaitan Selat Hormuz atau isu pertahanan Iran.

Menerusi hantaran di platform X pada Ahad, Baghaei menegaskan IAEA tidak seharusnya mencampuri urusan di luar bidang kuasanya, termasuk peluru berpandu Iran atau cara Tehran mengurus dasar kedaulatan negara.

Beliau memberi amaran bahawa kredibiliti sesebuah institusi antarabangsa akan terhakis sekiranya prinsip berkecuali profesional dikompromikan demi isyarat politik atau kepentingan peribadi.

“Mandat IAEA adalah pengesahan, bukannya mesej politik mengenai Selat Hormuz, peluru berpandu Iran atau bagaimana Tehran harus membawa diri,” katanya.

 

 

Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika ketegangan keselamatan maritim semakin memuncak di rantau Asia Barat, dengan Iran berulang kali menegaskan kawalannya terhadap Selat Hormuz sebagai kepentingan strategik negara.

Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap kapal perdagangan dan tangki minyak Iran akan dibalas dengan tindakan ketenteraan terhadap kepentingan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya di rantau itu.

IAEA setakat ini belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi terhadap kenyataan Baghaei.

Must Watch Video