Skip to main content

Malaysia

MOSTI tumpu kepada reka bentuk litar bersepadu, teknologi bernilai tinggi

KUALA LUMPUR, 4 Mac -- Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohammad Yusof Apdal berkata, pelbagai misi eksplorasi perniagaan dan jaringan strategik telah dilaksanakan melibatkan negara seperti Korea Selatan, Jepun, Türkiye, Scotland, Poland dan Argentina. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) melalui MIMOS Bhd sedang menumpukan kepada reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan teknologi bernilai tinggi bagi meningkatkan kompleksiti ekonomi negara.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, usaha itu dibuat untuk membolehkan syarikat tempatan bergerak ke arah pembuat reka bentuk tulen (ODM) dan pemilik teknologi. 

"MIMOS telah membawa pendekatan merangkumi penyediaan infrastruktur research and development (R&D), pengukuhan harta intelek, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat kemahiran tinggi yang menyokong laluan daripada penyelidikan kepada pengkomersialan dan penskalaan pasaran.

"Inisiatif ini mampu memperkukuh peralihan Malaysia daripada ekonomi berasaskan pemasangan kepada ekonomi berteraskan penciptaan dan pemilikan teknologi selari dengan aspirasi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan agenda Pertumbuhan Tinggi, Nilai Tinggi (HGHV)," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Negara, pada Rabu.

Beliau berkata, latihan reka bentuk IC, fabrikasi wafer, kebolehpercayaan dan kecerdasan buatan (AI) disediakan melalui Akademi MIMOS, bagi menyokong keperluan tenaga mahir syarikat yang sedang berkembang. 

Mohammad Yusof berkata, melalui Pusat Teknologi Semikonduktor (STC) dan Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) MIMOS di Kulim, MIMOS menyediakan kemudahan fabrikasi wafer, ujian IC, analisis kegagalan dan bahan atau ujian kebolehpercayaan serta kemudahan reka bentuk teras, katanya.

Beliau berkata, ITIC juga telah menganjurkan 19 latihan teknikal dan seminar justeru memberi manfaat kepada lebih kurang 400 peserta daripada 60 penggiat industri dan akademi tempatan sepanjang tahun 2020-2025.

ITIC MIMOS kini sedang melaksanakan beberapa “projek proof of concept” (POC) bersama-sama  syarikat tempatan elektrik dan elektronik (E&E) dengan menyediakan kepakaran teknikal serta peralatan bersama. 

"Inisiatif ini bertujuan menguji dan membuktikan keberkesanan teknologi berharu di samping membantu syarikat tempatan meningkatkan daya saing, memperkukuh rantaian nilai dan mempercepat pengkomersialan inovasi mereka dalam sektor semikonduktor.

"Dengan lebih 1,400 paten yang telah difailkan, 330 dalam semikonduktor, MIMOS menyokong model pemindahan teknologi melalui pelesenan, pembangunan bersama industri dan “spin-off”," katanya. 

Selain itu, beliau berkata, MOSTI melalui Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) menawarkan pembiayaan geran pembangunan prototaip dan pengkomersialan CIP Spark dan CIP Sprint yang kepada syarikat pemula niaga tempatan bagi melonjakkan perniagaan mereka daripada peringkat idea sehingga ke peringkat pengkomersialan. 

Sokongan itu merangkumi pembiayaan pembangunan produk, pengesahan pasaran serta persediaan untuk penskalaan, katanya.

"Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 72 peratus penerima geran CIP Spark telah berjaya mengkomersialkan produk teknologi yang dibangunkan, manakala kadar pengkomersialan bagi penerima geran CIP Sprint adalah 100 peratus," katanya. 

Beliau berkata, sebanyak 101 produk telah berjaya dikomersialkan di bawah Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sejak 2020 sehingga 2025.

Bagi industri aeroangkasa pula, Mohammad Yusof berkata, Konsortium Industri Angkasa Malaysia (MASIC) dalam proses menjalin kolaborasi strategik dengan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) bagi meneroka potensi pembangunan projek bersama. 

Beliau berkata, pelbagai misi eksplorasi perniagaan dan jaringan strategik telah dilaksanakan melibatkan negara seperti Korea Selatan, Jepun, Türkiye, Scotland, Poland dan Argentina. 

Delegasi MASIC juga telah mengadakan lawatan kerja ke Türkiye, Scotland dan Jepun, serta dijadualkan menyertai Kongres Astronautikal Antarabangsa (IAC) di Antalya, Türkiye pada tahun ini sebagai sebahagian daripada penglibatan dalam ekosistem aeroangkasa antarabangsa.

Sehingga kini, MASIC dianggotai oleh 10 ahli korporat yang terdiri daripada syarikat tempatan yang aktif dalam sektor angkasa dan fokus awal konsortium yang tertumpu kepada segmen huluan kini telah diperluas merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor angkasa termasuk segmen pertengahan dan hiliran, susulan kelulusan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Februari 2026. 

"Perlembagaan baharu sedang dalam proses kelulusan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum dikuatkuasakan. Mesyuarat agung tahunan (AGM) pula dijangka berlangsung pada April 2026, termasuk proses kelulusan penyertaan ahli baharu," katanya.

-- BERNAMA 

Must Watch Video