KUCHING: Permohonan kemasukan ke kolej vokasional meningkat dengan ketara kepada 58,263 tahun ini berbanding 28,098 pada 2022 sekali gus menyaksikan peningkatan minat pelajar terhadap laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya masa depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkembangan itu mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap pendidikan berasaskan kemahiran yang kini semakin mendapat tempat dalam sistem pendidikan negara.
“Ini menunjukkan keputusan memilih TVET hari ini bukan lagi satu alternatif tetapi langkah bijak untuk menjadi profesional yang diperlukan oleh dunia industri.
“Ini selaras dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menjadikan TVET pilihan utama kerjaya. Masyarakat mula sedar bahawa TVET kini menjadi nadi utama tenaga kerja,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan ke-10 bagi Zon Sarawak di Hikmah Exchange Event Centre di sini semalam.
Beliau berkata kapasiti pengambilan ke kolej vokasional bagi tahun ini ialah 17,912 pelajar, jauh lebih rendah berbanding jumlah permohonan yang diterima.
Fadillah juga berkata sejak pelaksanaan konvokesyen kolej vokasional pada 2016, seramai 103,902 graduan dilahirkan sekali gus melepasi sasaran 90,000 yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Beliau berkata graduan TVET mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan khususnya dalam bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau.
“Dalam era Revolusi Industri 5.0 yang menekankan kolaborasi antara manusia dan teknologi, kebolehsuaian adalah kunci kelangsungan dalam mendepani cabaran industri masa kini.
“Kemahiran yang anda peroleh di kolej vokasional sentiasa ditambah baik agar selari dengan piawaian industri global... namun, ilmu ini perlu sentiasa segar,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 874 graduan daripada enam kolej vokasional di seluruh Sarawak yang mengikuti 15 program diploma diraikan selepas menamatkan pengajian masing-masing.
-- BERNAMA