Skip to main content

Malaysia

Rakyat harus waspada ketika lakukan aktiviti air di kawasan berisiko - Sultan Pahang

MARAN, 3 Mac -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah ketika merasmikan Masjid Baharu FELDA Jengka 19 dan memasyhurkannya dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, FELDA Jengka 19 di sini, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026)
Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air khususnya di kawasan berisiko seperti pantai serta sungai. - BERNAMA

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihati rakyat supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti air khususnya di kawasan berisiko seperti pantai serta sungai.

Baginda berdua turut mengingatkan orang ramai supaya menitikberatkan aspek keselamatan seperti memakai jaket keselamatan ketika berada di laut atau kawasan perairan terbuka serta mengelakkan aktiviti tanpa pengawasan atau melakukannya di lokasi yang tidak selamat.

“Selain itu, ibu bapa dan penjaga diseru agar sentiasa memantau pergerakan serta keselamatan anak-anak terutama ketika berada berhampiran kawasan air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” titah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang malam tadi. 

Baginda berdua turut bertitah bahawa sikap berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekeliling serta pematuhan kepada langkah keselamatan mampu membantu mengurangkan risiko kemalangan seterusnya melindungi nyawa.

Dalam hantaran sama, Sultan Pahang dan Tengku Ampuan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar iaitu Luqman Kamil Jamaluddin, 16, dan  Muhammad Fauzan Aziman Mohd Saad, 18, yang ditemukan lemas dalam insiden berasingan masing-masing di Kuantan dan Maran petang Sabtu.

Baginda berdua mendoakan agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta berharap segala urusan keluarga dipermudah selain tabah atas kehilangan insan tersayang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video