GEORGE TOWN: Seorang juruteknik sebuah kilang didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 34 unit kelengkapan komunikasi tidak diperakui bagi tujuan jualan, dua tahun lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rizal Ismail, 43, serta memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Mohd Rizal didakwa memiliki 34 unit penghala (router) 5G jenama GTENIQ model IQ02X55 yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Mutiara Heights, Lintang Hajjah Rehimah, Jelutong, di sini pada 2 petang, 20 Ogos 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 16(3) peraturan sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Mohd Rizal yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia merupakan penanggung utama keluarga dengan pendapatan bulanan RM3,500, selain perlu menyara empat anak yang masih bersekolah serta ibu yang uzur.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran memandangkan barang berkenaan diiklankan secara meluas di media sosial Facebook dan Shopee pada harga RM600 hingga RM800 seunit.
-- BERNAMA