Skip to main content

Malaysia

Menteri Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Namibia mulakan lawatan kerja ke Malaysia hari ini

Selma Ashipala Musavyi
Selma Ashipala-Musavyi turut dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri lain dan wakil dari agensi-agensi berkaitan. - Facebook Selma Ashipala-Musavyi

PUTRAJAYA: Menteri Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Namibia Selma Ashipala-Musavyi akan mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Mac 2025, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Beliau akan diiringi tujuh anggota delegasi.

“Selma Ashipala-Musavyi dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang akan menghoskan majlis makan tengah hari bagi meraikan rakan sejawat beliau.

“Kedua-dua Menteri dijangka menilai kemajuan kerjasama dua hala dengan memberi penekanan kepada pengukuhan kolaborasi dalam bidang-bidang utama seperti kerjasama tenaga, perdagangan dan ekonomi, pendidikan, kesihatan, serta pembangunan kapasiti,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, Malaysia dan Namibia juga akan bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk perkembangan di Asia Barat.

Semasa lawatan kerja itu, Selma Ashipala-Musavyi turut dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri lain dan wakil dari agensi-agensi berkaitan.

Malaysia dan Namibia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1990 dan hubungan itu kekal mesra yang disokong oleh kerjasama di platform dua hala dan pelbagai hala.

Kenyataan itu menyebut lawatan kerja Selma Ashipala-Musavyi dijangka akan terus memperkukuh lagi kerjasama yang kian berkembang di antara kedua-dua buah negara.

Pada 2025, jumlah dagangan Malaysia dengan Namibia mencecah RM394 juta (US$92.4 juta), dengan nilai eksport sebanyak RM30.6 juta (US$7.2 juta) dan nilai import berjumlah RM363.4 juta (US$85.3 juta).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video