Skip to main content

Malaysia

NHMS 2026 dedah hanya 14.7% warga emas capai penuaan sihat

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly (foto) berkata data yang diperoleh menerusi NHMS 2026 berfungsi sebagai panduan strategik dalam merangka intervensi kesihatan yang bersasar dan berkesan. -Foto Astro AWANI

PUTRAJAYA: Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2026 yang memfokuskan aspek kesihatan warga emas menjadi penanda aras penting dalam usaha merangka dasar kesihatan negara yang lebih inklusif dan mampan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan dapatan tinjauan itu mencerminkan realiti sebenar tahap kesihatan warga emas di Malaysia dan bukan sekadar laporan statistik.

Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2036, sekali gus menuntut persediaan segera dan menyeluruh bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal berdaya tahan dalam mendepani perubahan demografi.

Dr Dzulkefly berkata data yang diperoleh menerusi NHMS 2026 berfungsi sebagai panduan strategik dalam merangka intervensi kesihatan yang bersasar dan berkesan.

“Kita bukan sekadar melancarkan laporan statistik, tetapi membedah realiti kesihatan warga emas negara.

"Data ini menjadi kompas strategik dalam merangka tindakan,” katanya.

NHMS 2026 mendapati hanya 14.7 peratus warga emas mencapai tahap penuaan sejahtera, merangkumi aspek sosial, kognitif, psikologi, fizikal serta kesihatan secara keseluruhan.

Dapatan itu turut menunjukkan beban penyakit tidak berjangkit berada pada tahap tinggi, dengan 73 peratus warga emas menghidap hipertensi, 76 peratus mengalami kolesterol tinggi dan 39 peratus menghidap diabetes.

Selain itu, 68 peratus warga emas mempunyai sekurang-kurangnya dua penyakit tidak berjangkit, manakala 30 peratus lagi hidup dengan tiga penyakit utama secara serentak.

Dari aspek kesihatan fizikal, sebanyak 30.6 peratus warga emas didapati tidak aktif secara fizikal, dengan 45 peratus mengalami sarkopenia atau penyusutan jisim otot, manakala 60 peratus berada pada risiko frailti atau kerapuhan fizikal.

Keadaan ini memberi kesan besar terhadap kualiti hidup warga emas serta meningkatkan tahap kebergantungan sekiranya tidak ditangani secara awal dan berkesan.

“Cabaran kita bukan hanya penyakit, tetapi memastikan warga emas terus hidup bermaruah, aktif dan tidak terpinggir daripada sistem kesihatan serta sokongan sosial,” katanya.

NHMS 2026 turut mendedahkan cabaran sistemik apabila populasi warga emas mencecah 4.1 juta orang, dengan 18.8 peratus daripadanya tinggal bersendirian, selain isu mobiliti dan pengangkutan dikenal pasti sebagai halangan utama mendapatkan rawatan kesihatan.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan komited memperkukuh penjagaan warga emas menerusi peluasan perkhidmatan kesihatan ke rumah, penggunaan teknologi digital serta peningkatan kepakaran dalam bidang geriatrik bagi memastikan kesejahteraan golongan itu terus terpelihara.

 

Must Watch Video