KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan seorang lelaki warga China yang didakwa telah dikurung selama tiga hari di sebuah unit Airbnb di Jalan Peel, di sini kerana dijadikan ‘penjamin’ kepada rakannya yang berhutang selepas bermain judi, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud berkata polis turut menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 30 tahun, yang disyaki mengurung mangsa di premis berkenaan dalam satu serbuan pada 9 malam.
“Siasatan awal mendedahkan mangsa yang berusia 36 tahun dijadikan ‘penjamin’ kepada rakannya yang berhutang judi sebanyak RM100,000.
“Berikutan tindakan rakannya yang melarikan diri, mangsa telah dikurung selama tiga hari oleh suspek sebagai desakan untuk melunaskan hutang itu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas segugus kunci rumah, kad akses dan dua telefon bimbit bagi membantu siasatan, dan usaha mengesan dalang utama yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA