RAMADAN selalu datang dengan caranya yang tersendiri: menenangkan jiwa, melembutkan hati dan menghidupkan kembali nilai kemanusiaan yang kadang-kadang tenggelam dalam kesibukan harian.
Di Sungai Acheh, sebuah kawasan yang terkenal dengan komuniti nelayan yang berhati lembut, bulan mulia ini diraikan dengan cara yang paling dekat dengan nurani manusia — melalui makanan, ziarah dan hubungan yang dilanjutkan dari rumah ke rumah.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh merangkap Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol, seperti orang lain, kedatangan Ramadan sentiasa dinantikan beliau.
Kalau bukan sebagai wakil rakyat sekalipun, nalurinya sentiasa terdorong untuk mendekati masyarakat dan berkongsi rezeki bersama mereka.
Dan kini, atas kapasitinya sebagai ADUN, keinginan itu tambah terdorong kerana di bulan penuh kemuliaan itu juga, beliau lebih berpeluang berjumpa dengan segenap lapisan masyarakat di Sungai Acheh.
Kerana itu, beliau dan pasukan pusat khidmatnya menggerakkan program pengagihan juadah berskala besar, dengan lebih 480 pek makanan disediakan untuk masyarakat setempat.
“Ramadan ini saya nak buat sesuatu yang benar-benar menyentuh hati orang kampung,” katanya ketika ditemui selepas selesai edaran juadah di salah satu kampung dalam DUN beliau.
Dan itulah yang berlaku.
Sebanyak 480 pek juadah disediakan pada hujung minggu buat masyarakat setempat.
Dalam suasana pagi yang hening, bau bubur lambuk mula naik dari periuk besar.
Di sebelahnya, beberapa orang sukarelawan sibuk menyiapkan nasi berlauk minyak, lauk kenduri daging, dan masakan kurma - hidangan yang mengingatkan ramai kepada zaman kecil, ketika Ramadan selalu disambut dengan riang dan berkongsi rezeki menjadi budaya.
Namun kali ini, ia bukan sekadar masak dan letak di kaunter. Setiap paket disusun, dilabel dan dihantar secara peribadi.
“Kami tak tunggu orang datang. Kami pergi kepada mereka,” ujar Rashidi yang sentiasa menanti peluang bertemu, berbual dan bertanya khabar penduduk.
Setiap senyuman, setiap ucapan “terima kasih Datuk” dan setiap tangan tua yang menyambut bungkusan itu, seolah-olah membasuh keletihan petugas yang sejak pagi tidak berhenti bekerja.
Menghidupkan tradisi ziarah kampung
Selepas edaran pertama, program Semarak Iftar diteruskan secara konsisten, meliputi lebih 200 hingga 300 penduduk kariah.
Tidak semua orang memerlukan bantuan makanan, tetapi ramai yang memerlukan sesuatu yang lebih berharga — sapaan, perhatian dan rasa dihargai.
“Orang kampung kita memang mesra. Sejak dulu mereka hidup bersama sebagai komuniti nelayan yang saling bergantung. Bila kita datang bawa makanan sambil bertanya khabar, mereka rasa dihargai,” ujar Rashidi.
Ada warga emas yang duduk bersendirian. Ada ibu tunggal yang memelihara anak-anak kecil.
Ada nelayan yang pulang lewat dari laut, letih tetapi tersenyum bila melihat wakil rakyat mereka singgah di laman rumah.
Dan ada juga anak-anak kecil yang melonjak kegembiraan bila melihat juadah tiba.
Inilah wajah Ramadan - bulan yang membuka pintu kasih sayang tanpa syarat.
Moreh kerang tradisi masyarakat Sungai Acheh
Jika waktu siang diisi dengan pemberian, waktu malam pula diwarnai dengan kemeriahan.
Bagi anak muda di Sungai Acheh, Ramadan bukan sekadar Tarawih dan bersahur, tetapi juga peluang untuk berkumpul dalam suasana santai sambil menikmati juadah tempatan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, program moreh kerang dan makanan laut menjadi tumpuan.
Deretan enam hingga tujuh gerai dibuka menjual kerang bakar, sotong celup tepung, udang segar dan pelbagai hidangan unik.
Gerai-gerai itu mula hidup selepas Maghrib dan kekal meriah sehingga tengah malam, menarik bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga kumpulan remaja dan geng-geng motosikal dari kawasan sekitar Nibong Tebal.
Tawa pecah di tepi gerai, kanak-kanak berlari kecil, aroma seafood memenuhi udara malam yang lembut.
Ramadan di Sungai Acheh mempunyai mood yang sukar digambarkan — tenang, meriah dan bersahaja.
Mengikat komuniti dengan rasa syukur
Bagi Rashidi, semua ini bukan sekadar program. Ia adalah usaha untuk mengembalikan nilai sebuah komuniti.
“Kita raikan tradisi, kita raikan manusia. Bila kita turun ke bawah dan duduk bersama mereka, kita sedar bahawa Ramadan sebenarnya mengajar kita satu perkara — kita ini satu keluarga besar, tak kira status atau latar belakang,” katanya sambil tersenyum.
Dan itulah yang dirasai di Sungai Acheh sepanjang Ramadan ini - sebuah kehangatan kemanusiaan yang hanya boleh hadir apabila kita ikhlas memberi dan sudi mendengar.
Ramadan adalah bulan ibadah. Tetapi di Sungai Acheh, ia juga menjadi bulan menyambung silaturahim, menghidupkan semula budaya gotong-royong, dan membina jambatan antara pemimpin dan rakyat.
Kerana pada akhirnya, itulah yang menjadikan sebuah kampung bertahan: hati-hati yang saling menyokong, saling memahami, dan saling menjaga.