Skip to main content

Malaysia

Mayat mangsa lemas kedua ditemukan terapung di Jeti Pasar Paka

SINAR HARIAN
Mayat Muhammad Aidil Amsyar ditemukan dalam keadaan terapung oleh orang awam. -Foto Sinar Harian

DUNGUN: Mayat mangsa kedua yang lemas di Sungai Beril berhampiran Taman Beril, Paka dekat sini ditemukan pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata mayat Muhammad Aidil Amsyar Mohd Zul-Zunaidi, 14, ditemukan dalam keadaan terapung oleh orang awam berdekatan jeti Pasar Paka pada 9.55 pagi.

Beliau berkata mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang itu ditemukan dua kilometer daripada tempat mangsa dilaporkan lemas.

"Anggota pasukan penyelamat bergegas ke tempat mangsa ditemukan selepas mendapat maklumat penemuan mayat daripada orang awam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, abang mangsa Muhammad Amir Ashraf, 15, telah ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat di dasar sungai sejauh tujuh meter dari tempat kejadian pada 3.47 petang semalam.

Semalam, Bernama melaporkan dua beradik tersebut lemas selepas dibawa arus ketika mandi di Sungai Beril pada 11 pagi bersama dua lagi rakan mereka.

Sementara itu, bapa mangsa Mohd Zul-Zunaidi Mohd Baldin, 40, ketika ditemui di tempat kejadian berkata jenazah kedua-dua anaknya akan dikebumikan di kampungnya di Melor, Kota Bharu, Kelantan selepas selesai bedah siasat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement