KUALA LUMPUR: Cadangan kenaikan cukai tembakau sebanyak lima peratus setiap tahun dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Penyelidik Social and Economic Research Initiative (SERI) Daniel Kittu, langkah itu secara tidak langsung berpotensi mengubah corak perbelanjaan rakyat kepada keperluan yang lebih produktif dan bermanfaat.
"Penggunaan tembakau mewujudkan apa yang dipanggil sebagai 'crowding out effect' iaitu apabila perokok membelanjakan wang untuk rokok berbanding keperluan lebih penting seperti kesihatan dan pendidikan.
"Apabila harga rokok meningkat, pengguna lebih cenderung mengurangkan perbelanjaan terhadap tembakau dan menggunakan wang mereka untuk perkara yang lebih produktif seperti kesihatan dan pendidikan," ujarnya.
Daniel berkata demikian kepada media selepas menghadiri taklimat media cadangan kenaikan cukai tembakau tahunan sekurang-kurangnya lima peratus di ibu negara pada Isnin.
Mengulas sama ada kenaikan cukai itu boleh meningkatkan pasaran gelap, Daniel berpendapat puncanya lebih berkait dengan kelemahan penguatkuasaan berbanding harga tembakau.
"Berdasarkan kajian di Malaysia dan luar negara, pemacu utama kepada rokok seludup atau rokok haram sebenarnya ialah penguatkuasaan dan rasuah, bukan cukai tembakau atau harga rokok.
“Selagi penguatkuasaan terus diperkukuh, termasuk usaha yang dilaksanakan pihak kastam, isu ini dapat dikawal,” katanya.
Beliau menambah, kenaikan cukai tembakau juga boleh menjadi sumber hasil tambahan yang signifikan kepada kerajaan.