Skip to main content

Malaysia

Mayat lelaki disambar buaya di Sadong Jaya ditemukan

Buaya Sadong Jaya
Mangsa dipercayai disambar buaya ketika turun ke sungai separas pinggang pada tengah hari semalam.

KUCHING: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas diserang buaya ketika menjala udang di bawah jambatan Sungai Buloh, Sadong Jaya, kira-kira 40 kilometer dari sini semalam ditemukan meninggal dunia.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan mayat Mohd Faizal Abdillah, 29, ditemukan pada 2.22 petang tidak jauh dari Pos Kawalan Bomba (PKB).

"Mangsa berasal dari Kampung Rangawan. Mayatnya dibawa ke PKB oleh nelayan untuk pengecaman ahli keluarga dan seterusnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna tubuh badan namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut," menurut kenyataan itu.

Media melaporkan Pusat Gerakan JBPM menerima laporan berkaitan kehilangan mangsa yang dipercayai disambar buaya ketika turun ke sungai separas pinggang pada tengah hari semalam.

Operasi mencari dan menyelamat telah giat dijalankan dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air membabitkan pihak polis, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan persatuan nelayan terdiri daripada penduduk di sekitar kawasan itu.

--BERNAMA

 

Must Watch Video