PEKAN: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Rekreasi Pahang bercadang untuk menganjurkan Program Mara Lasak Pahang 3.0 di Hulu Tembeling, Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata cadangan itu dititahkan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selepas melihat sambutan luar biasa program Mara Lasak Pahang 2.0 yang diadakan di Felda Chini 1 hari ini.
“Saya yakin Mara Lasak Pahang 3.0 nanti akan lebih meriah kerana penyertaan sebanyak 105 pasukan kali ini meningkat hampir sekali ganda berbanding tahun lepas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada program itu, Tengku Hassanal turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Mara Lasak Pahang 2.0, dengan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dinobatkan sebagai juara keseluruhan merangkap johan Kategori Badan Beruniform selepas mencatat masa dua jam lapan minit.
Selain badan beruniform, program larian berpasukan yang menelusuri denai sejauh 15 kilometer dengan membawa beban seberat lima kilogram itu turut mempertandingkan tiga lagi kategori, iaitu kategori jemputan atau VIP, agensi kerajaan dan badan berkanun serta kategori belia, pelajar universiti dan komuniti.
Dalam pada itu, Fadzli berkata pihaknya turut merancang untuk membuka penyertaan Mara Lasak Pahang 3.0 kepada peserta luar negeri pada masa akan datang serta memperkenalkan kategori baharu.
“Kemungkinan untuk penyertaan antarabangsa juga ada, namun kami akan melihat dahulu dan membuka kepada rakyat Malaysia dari negeri-negeri lain terlebih dahulu. Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana penganjuran acara ini memerlukan perancangan yang rapi dan teliti,” katanya.
Selain itu, beliau berkata penyertaan Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Walid Abu Hassan yang berusia 63 tahun dan berjaya menamatkan larian dalam tempoh kira-kira tiga jam menjadi contoh terbaik kepada golongan muda.
“Kebetulan Tengku Mahkota Pahang sangat menghargai individu yang memegang jawatan tinggi tetapi sanggup turun bersama peserta lain dalam usia sebegitu… ini membuktikan tiada alasan untuk anak muda tidak menyertai atau menamatkan cabaran ini,” katanya.
Fadzli berkata penganjuran Mara Lasak Pahang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, membentuk ketahanan fizikal dan jati diri serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan rakyat negeri itu.
-- BERNAMA