Skip to main content

Malaysia

MARA arah KPTM buat semakan menyeluruh aspek keselamatan, kebajikan pelajar

KUALA LUMPUR, 22 April -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berucap pada Majlis Peluncuran Pertandingan Pidato Piala Pengerusi MARA 2026 di Medan MARA Kuala Lumpur, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf Wajdi (foto) berkata arahan itu bertujuan memastikan sebarang kelemahan atau kekurangan di peringkat institusi dikenal pasti dan ditangani secara tuntas. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Kolej Poly-Tech MARA Sdn Bhd (KPTMSB) melaksanakan semakan menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan kebajikan pelajar di semua institusi di bawah kendaliannya bagi mengelak kejadian jenayah ganas dalam kalangan pelajar daripada berulang.

Beliau berkata arahan itu bertujuan memastikan sebarang kelemahan atau kekurangan di peringkat institusi dikenal pasti dan ditangani secara tuntas.

“Saya telah meminta pengurusan KPTM supaya membuat semakan menyeluruh melibatkan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.

“Kita perlu melihat sama ada wujud sebarang kelompongan atau kelemahan di peringkat institusi yang perlu diperbaiki agar insiden seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 MARA di Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas bantuan kepada mangsa, Asyraf Wajdi berkata MARA dan KPTM telah menyalurkan sokongan segera kepada keluarga pelajar berkenaan yang dilaporkan ditikam sebanyak 61 kali.

“Di peringkat KPTM, sebaik sahaja kejadian berlaku, pihak pengurusan telah bertemu dengan keluarga mangsa dan menawarkan sebarang bantuan yang diperlukan berkaitan urusan jenazah serta perkara lain.

“Selebihnya telah diserahkan kepada pihak polis kerana kes ini merupakan kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata kejadian tersebut amat mengejutkan dan menyedihkan seluruh warga MARA.

“Kami amat berdukacita. Bagi pihak pengurusan MARA, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Insiden ini amat memilukan hati kita semua,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan pelajar kolej, Nurfisya Zulkifly, 19, ditemukan orang awam dalam keadaan berlumuran darah pada kira-kira 12.30 tengah malam Khamis selepas dipercayai ditikam sebanyak 61 kali.

Mangsa yang menuntut di sebuah kolej di Kota Bharu, Kelantan dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak, disahkan meninggal dunia akibat beberapa tikaman di bahagian dada.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki berusia 19 tahun serta sepasang suami isteri warga emas bagi membantu siasatan, dengan perintah reman masing-masing selama tujuh hari dan tiga hari.

Must Watch Video