Skip to main content

Malaysia

Manuskrip ratusan tahun mempertemukan tiga tokoh besar negara

Dalam satu majlis yang sarat makna, saya berkesempatan menyaksikan peluncuran karya penting Aqaid al-Nasafi bersama tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka seperti Prof. Ungku Aziz, Prof. Bakar Hamid dan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ia menjadi satu penyuguhan khazanah pemikiran yang telah lama mendukung tradisi keilmuan Islam di Nusantara.
Majlis pelancaran karya tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan Malaysia disaksikan oleh Ungku Aziz. - Gambar/ UM

PADA tahun 1988, sebuah detik penting dalam sejarah keilmuan negara terakam di Universiti Malaya apabila tiga tokoh yang masing-masing membawa pengaruh besar kepada masyarakat dan negara dipertemukan dalam satu majlis pelancaran karya ilmiah yang sangat penting.

Almarhum Syed Muhammad Naquib al-Attas tampil sebagai sarjana ulung yang telah mengangkat kembali khazanah intelektual Islam di alam Melayu melalui hasil kajiannya 'A 16th Century Malay Translation of the ‘Aqa’id of Al-Nasafi' yang meneliti terjemahan Melayu-Jawi abad ke-16 terhadap sebuah karya teologi klasik oleh Abu Hafs 'Umar Najm al-Din al-Nasafi (w 537 H/1142 M).

Segalanya bermula beberapa tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1985 apabila sepupunya iaitu Almarhum Ungku Aziz memintanya meneliti kandungan sebuah manuskrip Melayu-Jawi yang jarang ditemui dan diperolehnya dari seorang peniaga di London. 

Ungku Aziz sendiri mengakui pada awalnya beliau tidak mengetahui isi kandungan manuskrip tersebut. Namun, penelitian oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas membawa kepada satu penemuan besar di mana manuskrip tersebut merupakan teks abad ke-16 bertajuk 'Aqa'id al-Nasafi, sebuah karya teologi Sunni, sekali gus menjadikannya antara manuskrip Melayu tertua yang pernah dikenal pasti. 

Beliau bukan sekadar meneliti manuskrip lama, tetapi berjaya membuktikan kedudukan ilmu tamadun Melayu-Islam sejak ratusan tahun dahulu. Sumbangannya membentuk asas penting dalam pemikiran Islam, falsafah pendidikan, dan kajian manuskrip Melayu hingga ke hari ini. Beliau telah membuktikan bahawa tamadun Melayu telah lama terlibat secara aktif dalam keilmuan Islam bukan sebagai penerima pasif, tetapi sebagai masyarakat yang memahami, menterjemah dan mengolah pemikiran teologi yang kompleks sejak abad ke-16.

Melengkapi momen bersejarah ini, majlis pelancaran karya tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pendidikan Malaysia disaksikan oleh Ungku Aziz. Kehadiran beliau mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan negara dan tokoh ilmuwan serta menjadi satu isyarat jelas bahawa pembinaan bangsa tidak boleh terpisah daripada peranan ilmuan.

Peristiwa ini juga adalah simbol pertemuan antara tokoh pemikir dan pemimpin yang turut memperkukuh peranan Universiti Malaya sebagai pusat ilmu yang memelihara, mengembangkan dan memartabatkannya.

Hari ini, legasi ketiga-tiga tokoh ini terus hidup sama ada dalam wacana akademik, proses pembinaan masyarakat, dan dalam perjalanan panjang pengembangan ilmu yang tidak akan pernah terhenti. Semoga jasa dan pusaka keilmuan yang ditinggalkan oleh Almarhum Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Almarhum Ungku Aziz terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

 

Universiti Malaya
The University of Malaya Library
Ungku Aziz Centre for Development Studies

Must Watch Video