PUTRAJAYA: Malaysia sedia memperkukuh peranan bagi membentuk masa depan pembangunan bandar yang mampan pada Forum Bandar Sedunia ke-13 (WUF13) di Baku, Azerbaijan dari 17 hingga 22 Mei ini.
Malaysia akan diwakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang juga Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHA).
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semasa forum berkenaan, Nga dijadualkan menyertai Mesyuarat Menteri mengenai Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dan Malaysia akan menyampaikan kenyataan negara serta mempengerusikan Meja Bulat Kenyataan Negara selaras dengan peranannya sebagai Presiden UN-Habitat.
“Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, negara anggota serta pihak berkepentingan Agenda Habitat bagi memperkukuh kerjasama pelbagai hala dalam pembangunan perumahan dan bandar mampan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain penglibatan multilateral, Nga turut dijadualkan bertemu Menteri Perbandaran dan Perumahan Arab Saudi Majed Abdullah yang mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh perkongsian antarabangsa serta memajukan keutamaan bersama dalam pembangunan bandar mampan dan bandar berdaya tahan.
KPKT memaklumkan Nga juga akan melancarkan Pavilion Malaysia semasa Ekspo Bandar WUF13, yang mempamerkan inisiatif transformasi bandar negara, agenda perumahan mampu milik serta aspirasi bandar mampan.
“Pelancaran itu bersempena dengan pengenalan Asia-Pacific Urban Agenda Platform (AP-UAP), sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia ke arah kerjasama serantau yang lebih erat dalam perbandaran mampan,” menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan WUF13 dianggap sebagai platform penting bagi Malaysia untuk bertukar amalan terbaik, memperkukuh perkongsian antarabangsa serta meneroka penyelesaian bandar inovatif yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Dalam pada itu, Nga berkata Malaysia percaya pembangunan negara yang inklusif akan didorong oleh pembinaan bandar dan komuniti yang sedia untuk masa depan.
“Melalui WUF13, kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi global bagi membina bandar yang inklusif, berdaya tahan dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan itu.
Dianjurkan oleh UN-Habitat, WUF13 menghimpunkan pemimpin global, menteri, pembuat dasar dan pakar bagi membincangkan bandar mampan, perumahan serta pembangunan bandar inklusif di tengah-tengah cabaran global yang semakin meningkat.
-- BERNAMA